Idris Jusoh sokong Muhyiddin

0
316

AHLI Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata, pada saat rakyat sengsara dengan isu covid, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha membantu rakyat dan bukannya berpolitik.

“Kita wajib tumpu masa bantu rakyat. Tingkatkan vaksinasi dan pulihkan ekonomi.

“Untuk kebaikan rakyat dan tidak banyak berpolitik, saya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata, semua pihak tidak sepatutnya menafikan sumbangan Muhyiddin kepada UMNO.

“Dahulu di bawah PH, kita UMNO adalah pembangkang. Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan. Pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai TPM & dilantik Menteri-menteri kanan kerajaan. Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, Muhyiddin juga telah banyak berjasa membantu warga FELDA.

“Bermula dengan bantuan sukuk bernilai RM9.9 billion, diikuti baru-baru ini telah meluluskan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 billion. Tidak akan jumpa lagi pemimpin sebegini yang berjiwa besar membantu warga FELDA sebegini rupa,” ujarnya lagi.

Berkaitan situasi UMNO sekarang, Idris berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di parlimen.

“Sekarang beliau mengarahkan pula kita perlu tarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Keputusan beliau sentiasa berubah.

“Sayangnya saya tidak nampak ‘game plan’ di mana YAB Presiden UMNO hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam. Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Selepas itu ke mana kita? Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir Agama Islam? Atau adakah kita hendak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya?,” soalnya.

Idris berkata, Perhimpunan Agung UMNO telah membuat keputusan menolak Anwar.

“Tetapi Presiden (UMNO) berkata Anwar adalah cikgu dia. Presiden juga secara diam-diam telah tandatangani SD menyokong Anwar. Oleh itulah maka kita perlu lebih berhati-hati di dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

“Saya berpendapat, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama dgn kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudharat yang lebih besar, ia adalah pilihan yang lebih baik.

“Saya menyeru agar kita dapat tingkatkan solidariti di kalangan ahli UMNO. Saya sayangkan UMNO; dulu, kini dan selamanya,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here