Penduduk terkenang perjuangan pertahankan kediaman sempena sambutan kemerdekaan

0
180

KEJADIAN tahun awal 80-an yang pernah mencetuskan kegemparan itu masih segar dalam ingatan wanita tersebut. 

Bertudung hijau dan berbaju hitam, Rawiyah Kamil membuka cerita. 

Raut wajah yang dimamah usia itu menyimpan seribu satu memori di Kampung Melayu Bumi Hijau.

Kawasan kampung itu dahulu terletak di tapak Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak, Kuala Lumpur. 

Sebahagian laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 turut melalui kawasan kampung itu yang kini hanya tinggal kenangan.

Menurut cerita Rawiyah, pada mulanya kawasan itu adalah kawasan bercucuk tanam dan akhirnya mula dipenuhi dengan rumah-rumah. 

Dikatakan kawasan itu mempunyai kira-kira seribu penduduk.

“Pihak berkuasa mula jenguk kawasan Bumi Hijau dan mengarahkan agar rumah-rumah yang telah dibina itu dipecahkan, walhal tanah di situ kami beli dan terus bikin rumah,” Rawiyah membuka cerita.

Katanya, rumah-rumah itu dirobohkan kerana syarikat pemaju, SPPK Sdn Bhd, ingin membangunkan kawasan berkenaan. 

Sebagai ganti, mereka akan diberikan unit flat empat tingkat di Taman Melati. 

Rawiyah Kamil bercakap mengenai usaha mempertahankan rumahnya di Kampung Melayu Bumi Hijau.

Rawiyah Kamil bercakap mengenai usaha mempertahankan rumahnya di Kampung Melayu Bumi Hijau.

Penduduk tak setuju

Sebahagian penduduk bersetuju manakala 13 keluarga tidak mahu meninggalkan rumah mereka, termasuklah keluarga Rawiyah.

Mereka menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mempertahankan tanah masing-masing.

Kerja-kerja pembinaan mula dijalankan pemaju.

Pada satu pagi, Rawiyah melihat sebuah traktor sedang menimbus tanah di kawasan kampung itu.

“Penduduk mula berkumpul. Kami marah kepada pihak polis mengapa biarkan pemaju melakukan sesuka hati?

“Satu anggota polis telah menarik dan lempang saya. Ketika saya terjatuh, dua orang polis dan satu anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah menendang kaki dan memijak peha kanan saya dengan kasut butnya.

“Tubuh saya juga ditekan dengan senjata M16 semasa saya digarikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ketika babak cemas ini berlaku, Rawiyah berkata seorang penduduk lelaki merayu kepada pasukan keselamatan meminta agar dia dilepaskan.

Itu antara detik hitam yang dilalui suri rumah itu dalam mempertahankan tanah mereka.

Ketika itu, dia berusia 30-an dan mempunyai tiga orang anak. 

Suami ditahan

Arwah suaminya, Sulaiman Yaakub yang ketika itu bekerja sebagai pemandu teksi, berkali-kali ditahan di lokap polis kerana kes tersebut.

Lebih malang lagi, Rawiyah didakwa di mahkamah selepas membuat laporan polis malam sebelumnya. 

Rawiyah Kamil (kiri) berbual dengan jirannya di Taman Rawiyah Sulaiman, Batu 8 Gombak.
Rawiyah Kamil (kiri) berbual dengan jirannya di Taman Rawiyah Sulaiman, Batu 8 Gombak.

Semasa perbicaraan, hakim mahkamah mendakwa Rawiyah diserang histeria.

“Saya bertindak secara waras. Dia (hakim) ingin menangkan pemaju.

“Tiga hari pihak polis dan hakim bincang untuk jatuhkan tuduhan histeria ke atas saya,” katanya.

Selepas kejadian itu, Rawiyah berkata suaminya mencari hakim tersebut di sebuah masjid ketika solat Jumaat yang mana suaminya memberi amaran kepada hakim berkenaan.

Keluarga Rawiyah masih menyimpan keratan-keratan akhbar dan dokumen lama mengenai perjalanan Kampung Melayu Bumi Hijau yang kini sudah tiada lagi. 

Pergeseran antara penduduk Bumi Hijau dan pihak berkuasa turut membabitkan nama-nama tokoh lain, antaranya Jomo Kwame Sundaram yang ketika itu bertugas sebagai pemberita yang melaporkan mengenai kes tersebut.

Aktivis lain yang pernah datang membela mereka termasuklah pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Mohd Nasir Hashim, aktivis Syed Husin Ali, dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim. 

Apa erti kemerdekaan?

Seorang penduduk, Abdul Malik Ishak dijemput untuk tinggal di Bumi Hijau oleh Sulaiman. 

Rumah bekas tentera itu dibuat hasil semangat gotong royong orang kampung.

Ceritanya, Bumi Hijau ketika itu tidak mempunyai bekalan air yang mana sumber itu diambil daripada kawasan bukit berhampiran.

Dia antara penduduk yang masuk lokap kerana mempertahankan haknya.

“Kami pergi ke pejabat SPPK di Damansara dengan aman untuk menyerahkan memorandum. Tetapi SPPK membawa FRU untuk menakut-nakutkan kami, walhal mereka tidak perlu masuk campur urusan orang kampung.

“Ekoran itu, sesetengah penduduk yang terlibat penyerahan memorandum dibawa ke balai polis di Brickfields termasuklah saya dan anak saya yang masih belum bersekolah untuk diambil keterangan.”

Seorang lagi bekas penduduk Bumi Hijau, Othman Manap berkata, pihak pemaju sebenarnya menimbulkan gangguan kepada penduduk sehingga mereka terpaksa melawan.

“Pada mulanya, kami dianggap penduduk setinggan namun pihak peguam telah mengiktiraf kami sebagai peneroka bandar.

“Kami ada lot-lot tanah dan rumah yang dibina tidaklah rapat antara satu sama lain seperti kawasan setinggan,” katanya.

Menurut warga emas itu, rundingan dibuat antara pihak SPPK dan penduduk yang mana syarikat pemaju itu bersetuju mencari tapak baru untuk penduduk berpindah.

Bagaimanapun, tapak itu tiada fasiliti yang mencukupi.

“SPPK tetap melakukan kerja-kerja pembinaan walhal kita mempunyai perintah mahkamah yang menyatakan tiada kerja boleh dilakukan selagi mereka tidak menyiapkan infrastruktur di tapak baru itu.”

Fasiliti kemudian dibangunkan oleh pemaju lain, Titijaya dan penduduk berpindah setelah berpuas hati dengan keadaan di tapak itu lewat tahun 90-an.

Tapak itu dikenali sebagai Taman Rawiyah Sulaiman Jaya. 

Menurut Rawiyah, nama itu dipersetujui oleh jawatankuasa sebagai menghargai jasa suami isteri itu mempertahankan penduduk kampung Bumi Hijau.

Setelah empat dekad peristiwa itu, Rawiyah berkata ia memberikan makna kemerdekaan tersendiri untuk dirinya dan penduduk Bumi Hijau. 

Ini kerana sekali lagi, penduduk berdepan dengan pengusiran dan gangguan ekoran pembinaan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Kemerdekaan itu bermakna kehidupan tidak diganggu, hutan-hutan tidak diancam. 

“Kita ada kerajaan, tetapi mana kerajaan bila keadaan rakyat macam ini? Kemerdekaan bukan pada kerajaan sahaja, tetapi pada rakyat.

“Ada rakyat, barulah ada kemerdekaan.” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here