Calon PRK PN selesai temui masyarakat Pulai

0
379

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar, akan berkempen dengan lebih rancak bagi menemui lebih ramai pengundi di kawasan itu.

Mengakui hampir selesai menemui komuniti di semua 40 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen itu, beliau akan memulakan pusingan kedua lawatan dan tinjauan.

Katanya, gerak kerja kempen yang dibantu jentera PN berjalan lancar dengan pertemuan dengan semua 40 PDM Parlimen Pulai hampir selesai.

“Walaupun ada tanggapan masyarakat menyatakan kempen PRK di Johor terutama di Pulai lesu dan hambar, bagi saya ia tidak begitu kerana PN ada kaedah tersendiri dalam mendekati pengundi.

“Selain pertemuan bersama komuniti di setiap PDM, saya dan jentera PN banyak menggunakan kaedah pertemuan mesra dan santai mendekati pengundi.

“Ia bagi membolehkan setiap permasalahan dan pendapat pengundi dapat diutarakan dengan lebih mesra dan santai selain jentera membantu mencari penyelesaian pelbagai isu dihadapi pengundi.

“Menjelang hujung minggu ini, saya dan jentera PN akan lebih agresif bertemu pengundi secara bersemuka, apatah lagi jentera PN dari luar dijangka hadir beramai-ramai bagi membantu kempen saya sehari dua ini,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat warga emas, Sharifah Asyikin Syed Abdullah, 65, yang menderita kanser usus, hati dan paru-paru, di Kempas, hari ini.

Zulkifli yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Pulai berkata, kebanyakan pengundi Parlimen Pulai mengeluh mengenai kos sara hidup tinggi di bandar raya ini dengan menyarankan calon yang menang membawa isu itu ke Parlimen.

“Isu ekonomi terutama kos sara hidup yang semakin meningkat adalah permasalahan utama diutarakan dan mahu calon Ahli Parlimen memperjuangkan isu berkenaan.

“Saya bertekad untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Pulai bagi membantu menyelesaikan masalah selain membawa suara mereka ke Parlimen,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian 9 September.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here