Edar dadah lebih 413kg, dua lelaki berdepan hukuman mati

0
204

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 413.8 kilogram (kg), minggu lalu.

Tertuduh, Choong Boon Wah dan Seng Chun Leong masing-masing berusia 44 tahun mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut semua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan seberat 59.5kg, 64.299kg, 240.43kg dan 49.597kg di sebuah rumah di Jalan Sri Klebang, Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di Ipoh, sekitar pukul 9.15 pagi pada 15 Ogos lalu.

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum hukuman mati, dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia.

Di Mahkamah Majistret berasingan, kedua-dua lelaki itu didakwa atas pertuduhan memiliki dua laras senjata api tiruan jenis HK416 dan HKMP5 beserta satu kelopak sekitar pukul 9.30 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin dan tertuduh diwakili peguam Asyraaf.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan kes disebut semula pada 6 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Media melaporkan sindiket memproses dadah jenis erimin 5 yang berselindung di sebuah banglo dua tingkat di Klebang, Chemor dekat Ipoh sejak Mac lalu akhirnya tumpas selepas diserbu polis.

Kewujudan makmal memproses dadah jenis erimin 5 itu berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang bertindak menyerbu yang disewa suspek dan merampas kesemua dadah berkenaan yang bernilai RM30.6 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here