UMNO sudah jahanam – Muhyiddin

0
125

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan UMNO kini sudah jahanam disebabkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, UMNO kini sudah hancur lebur dan menggesa rakyat beralih sokongan kepada PN.

“Apa dah jadi dengan UMNO. Kita bercakap di bumi UMNO Johor, tempat UMNO dilahirkan. Hari ini UMNO sudah dijahanamkan oleh Presiden Parti.

“Jadi kita nak ajak orang UMNO Pulai sokong kita. Nak kekal dalam UMNO takpelah tetapi sampai masa (pengundian pilihan raya kecil) undi calon kita,” katanya.

Beliau berkata demikian
ketika berucap pada Majlis Calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Kempas, Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali,  Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan Zulkifli Jaafar sebagai calon PN di Parlimen Pulai dan Dr. Mohd. Mazri Yahya sebagai calon DUN Simpang Jeram.

Enam PRN baru-baru ini mengekalkan status quo apabila PH-BN kekal memerintah di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PN mengukuhkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, gelombang rakyat yang melanda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan memberi kemenangan kepada PN akan membadai Johor pada PRK, 9 September ini.

Muhyiddin berkata, ini adalah referendum yang jelas menyatakan tidak menyokong kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam situasi dan keadaan politik negara ketika ini, PRK di dua kawasan ini cukup signifikan atau kesannya tersendiri kepada rakyat di negeri ini.

“PRK ini diadakan selepas PRN enam negeri yang menyaksikan PN menang 146 kerusi daripada 245 kerusi ditandingi, kira-kira 60 peratus kemenangan berpihak kepada kita.

“PRN lalu yang mendapat undi popular adalah PN, ini adalah mesej jelas oleh rakyat bahawa  pimpinan kerajaan Pusat tak menunjukkan keupayaan dan dilihat sebagai kerajaan yang gagal.

“Gelombang rakyat itu sudah ada di sini, ia harus terus disalurkan kepada peringkat akar umbi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk memberikan sokongan kepada parti,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here