PRK: PN yakin rampas kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

0
233

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERIKATAN Nasional (PN) yakin menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana situasi politik kini berbeza jika dibandingkan dengan pilihan raya terdahulu.

Calon PN DUN Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya, 54, berkata, PN melihat peluang gabungan politik tersebut untuk menang PRK tersebut adalah lebih cerah disebabkan faktor itu.

“Dia punya suasana berbeza, PRU14, PRU15 berbeza dengan PRK. PRK ini jauh berbeza. Mudah-mudahan dengan suasana berbeza ini dapat kekalkan suasana dan momentum PN di Johor,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mazri menjelaskan, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.

Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.

“Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

“Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), Insya-Allah akan cuba sempurnakan amanah ini.

“Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram,” katanya.

Terdahulu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Dr. Mohd. Mazri sebagai calon DUN Simpang Jeram manakala Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai.

Pengumuman itu dilakukan di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas di Johor Bahru pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Sementara itu, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, 50, berkata, pihaknya melihat tiada apa yang mustahil untuk menang di Parlimen Pulai.

“Kita kena kerja kuat, tiada apa yang tak boleh dapat kalau kerja kuat. Insya-ALLAH kita akan berusaha bersungguh-sungguh,” ujar beliau.

Habis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here