Pasca PRN: Adakah tiba masa UMNO bertanding atas tiket sendiri, atau masih di bawah BN? – Azalina

0
188

DATUK Seri Azalina Othman Said hari ini membangkitkan persoalan adakah sudah tiba masa untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang, atau masih di bawah bendera Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO itu juga berkata, adakah BN perlu menyertai pilihan raya bersama dengan gabungan baharu?

Itu kenyataan terbaharu daripada Azalina susulan pelbagai reaksi yang disuarakan ekoran prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu termasuk wujud desakan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri.

“Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN; ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu,” soalnya dalam kemas kini dalam Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, ujian pertama BN dalam pilihan raya lalu telah selesai dan kini gabungan itu melangkah masuk ujian kedua iaitu bekerjasama dalam pentadbiran negeri di Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

Katanya, memang mudah untuk menuding jari dan mendesak Pengerusi BN (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid) mengundurkan diri apabila berdepan kekalahan, tetapi tegasnya gabungan itu adalah satu institusi.

“Paling penting sebenarnya, dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan ambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran. Apa yang perlu kita ubah bukan Presiden tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita.

“Antara cabaran utama yang kita masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital. Pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen hingga ada ceramah fizikal tidak mendapat sambutan walhal, kempen sebenar adalah di platform digital,” kata Azalina.

Selain itu, beliau berkata, adalah pelik dan ajaib ketika calon dikemukakan, mereka diterima dan (para penyokong) bersorak di dalam dewan.

Hakikatnya, Azalina berkata, BN meletakkan calon di 108 kerusi yang berpotensi menang dan kalah, selain menyifatkan ia realiti sistem demokrasi pilihan raya.

“Sebenarnya bagi kepimpinan BN; parti boleh sahaja ambil jalan mudah, iaitu fokus pada kerusi-kerusi yang mudah menang atau di negeri-negeri yang kita tahu, telah menerima dan faham formula perpaduan di peringkat Kerajaan Pusat.

“Tetapi ketika kita kemukakan 108 kerusi untuk ditandingi, tiada siapa merungut malah ada juga yang berasakan jumlah itu tak cukup. Tetapi hari ini, ada pula suara-suara sinis apabila ada kerusi yang kalah.

“Suara-suara ini tidak pula kedengaran ketika watikah diserahkan. Pengerusi BN sendiri beri kebebasan kepada perhubungan negeri dan ketua bahagian dalam pemilihan calon yang difikirkan layak. Sebab itu saya katakan, ia tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu mengatakan Malaysia tidak ada peraturan atau undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan, yang didakwa yang menggunakan platform-platform media sosial bagi mempengaruhi pengundi.

Dakwanya, pihak lawan menggunakan dana yang begitu banyak di platform digital kerana penyedia platform berpangkalan di luar negara.

“Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital,” kata Azalina, lapor Astro Awani.

Pada PRN lalu, BN hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi mereka di enam negeri.
Susulan prestasi buruk itu, wujud pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pemerhati politik, bekas pemimpin UMNO serta ahli UMNO sendiri, yang mahu ‘sesuatu’ dilakukan demi menyelamatkan parti Melayu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here