Operasi had laju bermula di seluruh negara, kompaun RM300 dihantar ke rumah

0
148

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melaksanakan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara, bermula semalam.

Operasi dilaksanakan itu bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan itu, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan itu di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A yang akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, berkata penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.

“Tindakan ini bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dalam negara.

“Anggota JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan.

“Saman kompaun bernilai RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya, lapor BH Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nasri berkata, memandu melebihi kelajuan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini selepas pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.

“Kerjasama orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here