‘Tuduhan terhadap saya bermotif politik’ – Muhyiddin

0
121

BEKAS perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sentiasa tahu pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya bermotifkan politik.

“Saya tidak lakukan sebarang kesalahan dari perspektif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau undang-undang lain dan ini dibuktikan dengan keputusan (mahkamah) hari ini.

“Ia jelas kepada orang ramai apa yang dilakukan pihak tertentu untuk menganiaya saya,” katanya dalam sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, lapor FMT.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin membatalkan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim Jamil Hussin berkata, pertuduhan itu tidak mendedahkan dengan jelas sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin, presiden Bersatu, membuat pembelaannya.

Katanya, pertuduhan itu kekurangan butiran mencukupi seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 19 April lalu, Muhyiddin memohon mahkamah membatalkan pertuduhan itu dan membebaskannya. Beliau turut memohon semua prosiding di Mahkamah Sesyen, tempat beliau didakwa, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan pembatalan itu.

Peguam utama Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik, berkata pasukan pembelaan yakin semua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) terhadap anak guam mereka akan ditolak.

“Dalam beberapa hari ini, pasukan peguam akan berjumpa dan membincangkan baki tiga pertuduhan. Paling penting, pertuduhan utama sudah dibatalkan pagi ini.”

Beliau menyifatkan keputusan Jamil adil dan saksama kerana pertuduhan itu “teruk di sisi undang-undang” dan “sangat cacat”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here