Pembebasan Muhyiddin bukti ada ‘tangan jahat’ calar imejnya menjelang PRN – Azmin Ali

0
137

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa membuktikan ada “tangan jahat” yang berniat untuk mencalarkan imej dan kredibiliti Bersatu dan presidennya supaya rakyat menolak Perikatan Nasional (PN).

“Tapi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah sebaliknya,” kata Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sambil menegaskan gabungan itu menang besar di Terengganu, Kelantan, Kedah dan menang dengan jumlah yang signifikan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Azmin dalam satu kenyataan hari ini berkata PN yakin Muhyiddin tidak pernah terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Malahan, beliau adalah seorang yang tuntas menentang amalan rasuah termasuk menentang skandal kewangan terbesar 1MDB sehingga beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri,” katanya merujuk kepada skandal 1Malasysia Development Berhad membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Muhyiddin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Jamil juga berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan dan menggantung kes selama-lamanya.

“Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

“Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata, oleh kerana kesalahan utama dibatalkan, maka tiga pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 juga tidak boleh berdiri secara sendiri dan harus juga dibatalkan.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Peguam Negara Idrus Harun berkata permohonan yang diputuskan mahkamah hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Muhyiddin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here