Mangsa tanah runtuh Batang Kali gesa Amirudin digugurkan sebagai MB Selangor

0
154

KELUAR mangsa tanah runtuh Batang Kali pada Disember tahun lalu mengkritik tindakan Datuk Seri Amirudin Shari menangani bencana itu, mengatakan beliau tidak sepatutnya dilantik semula sebagai menteri besar jika tidak dapat menunaikan janjinya untuk mengumumkan hasil siasatan terhadap insiden itu. 

“Kami keluarga terjejas dan rakyat prihatin bersatu menuntut ketelusan dan akauntabiliti daripada Amirudin Shari. Kami menggesa MB Selangor menjunjung tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Sekiranya laporan siasatan tidak disampaikan dengan segera dan telus, kami menyeru agar menteri besar Selangor berundur, memberi laluan kepada wakil rakyat lain yang lebih berwibawa mengendalikan keadaan dan memastikan keadilan untuk mangsa,” kata sebuah kumpulan yang mewakili mangsa dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, keluarga mangsa dikecewakan berulang kali oleh kerajaan negeri dan persekutuan termasuk oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad yang berjanji laporan mengenai kejadian itu akan disiapkan pada Januari. 

Mereka berkata pada akhir Mei lalu, Nik Nazmi memaklumkan laporan itu berada di Jabatan Kerja Raya. 

Ini diikuti oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laporan itu akan disiapkan menjelang Jun, dan kemudiannya berkata ia akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Ia membingungkan saya bahawa menteri besar Selangor berkata laporan itu sudah sedia, dan kemudian tidak berbuat apa-apa dan membisu mengenainya. Tiada laporan, tiada akauntabiliti, tiada apa-apa. Ia merupakan sembilan bulan yang melelahkan. Saya dan isteri semua sangat trauma dan sedih dengan kehilangan anak lelaki kami yang berumur 7 tahun. 

“Kami hanya memerlukan laporan lengkap dan kepimpinan Selangor sebelum ini gagal untuk menyampaikannya. Kami mengharapkan kepimpinan baru yang akan dilantik,” kata Loh Teng Shui.

“Kita tidak boleh membatalkan apa yang berlaku tetapi sekurang-kurangnya kita boleh cuba mencari punca dan cuba sedaya upaya untuk mengelak tragedi serupa menimpa orang lain,” katanya, lapor MalaysiaNow.

Tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember tahun lepas mengorbankan 31 orang termasuk 13 kanak-kanak, dan merupakan bencana kedua terburuk negara selepas tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Sebelum ini didedahkan tapak perkhemahan itu beroperasi secara haram. 

Kira-kira 100 orang berada di tapak perkhemahan tersebut ketika kejadian tanah runtuh melanda kira-kira jam 2.20 pagi pada 15 Disember 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here