Sanusi yakin menang Jeneri, kes mahkamah

0
163

BERDEPAN dengan pelbagai saman fitnah dan pertuduhan menghasut ketika berkempen untuk mempertahankan kerusi DUN Jeneri, menteri besar sementara Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap yakin peluangnya untuk menang di dalam dan di luar mahkamah.

Bercakap kepada pemberita di SK Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Sanusi berkata walaupun dia tidak menyangka ucapan kempennya akan menyebabkan dia diseret ke mahkamah, dia tetap tenang dan bersedia.

“Saya tak expect akan berlaku saman-menyaman macam tu. Dalam pilihan raya ni biasanya orang selesai di medan politik.

“Tapi dah berlaku saman kita get ready lah,” katanya, lapor MalaysiaKini.

Sanusi juga ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya kecil Jeneri jika dia menang kerusi itu hari ini tetapi kemudiannya hilang kelayakan atas sabitan mahkamah.

Bagaimanapun, Sanusi dengan yakin menjawab: “Saya akan menang kes mahkamah saya. Jadi takkan ada PRK.”

Tindakan Sanusi menuduh wujud skandal rasuah melibatkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari telah menyebabkannya beberapa saman fitnah difailkan terhadapnya.

Namun, penyokong Sanusi terus memujinya sebagai wira PN.

‘Saya tepis keluar’

Diminta mengulas hal ini, Sanusi sambil berseloroh berkata dia sentiasa menjadi “hero” malah sejak pilihan raya umum ke-15 di Kedah apabila dia menjadi nakhoda PN menawan lebih banyak kerusi parlimen.

“Bukan kali ni saja, PRU15 pun saya hero juga…PRU15 pun berlaku kebangkitan (sokongan kepada PN),” katanya sambil ketawa.

Sanusi juga berkongsi mengenai strateginya untuk kekal tenang di sebalik cabaran yang dihadapinya.

“Tenang, tenang. Tak absorb, saya tepis keluar ja. Adat dalam politik memang macam tu.

“Yang tak tahan dia berhenti. Saya rasa (apa yang dihadapi) ini sangat kecil. Saya ready untuk yang lebih besar,” kata pengarah pilihan raya PAS itu.

Sementara itu, Sanusi berkata peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi iaitu lebih 80 peratus di Kedah hari ini akan menyaksikan kemenangan lebih besar buat PN.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi di Kedah setakat tengah hari ini telah mencecah 41 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here