MB, TMB atau Adun biasa – Mohd Amar terima keputusan parti

0
149

TIMBALAN menteri besar sementara Kelantan,Datuk Seri Mohd Amar Abdullah menegaskan dia akan menerima sebarang keputusan parti berhubung kedudukannya dalam kerajaan Kelantan nanti, jika PN kekal mentadbir di negeri itu.

Menurutnya nama calon menteri besar akan dicadangkan oleh penyandang sedia ada dan diserahkan kepada presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk diputuskan.

“Menteri besar ditentukan parti terutamanya presiden dan mesti mendapat perkenan daripada istana, ada dua proses. Jadi sekarang ini belum ada makluman, apa-apa kita tunggulah.

“Saya tak tahu (siapa) presiden putuskan, dia akan berikan nama kepada pesuruhjaya PAS negeri dan akan hantar ke istana.

“Setahu saya dalam mesyuarat (PAS) hari khamis lalu, memang biasa macam tu (tidak dinamakan), kadang-kadang hari mengundi baru disebut sebab cadangan datang daripada menteri besar sedia ada.

“Dialah yang angkat cadangan kepada presiden, kemudiannya presiden akan buat keputusan untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kelantan,” katanya kepada media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Panji, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar yang juga penyandang dan calon PAS bagi DUN Panchor berkata demikian ketika ditanya mengenai calon menteri besar Kelantan bagi menggantikan posisi Ahmad Yakob yang memilih untuk bersara.

Semalam PAS mengumumkan cadangan perubahan bagi jawatan menteri dan timbalan menteri besar Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pengumuman khas semalam memaklumkan gadingan menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan terdiri daripada tokoh ulama dan teknokrat.

Sementara itu ditanya sama ada bersedia menggalas jawatan menteri besar, Mohd Amar berkata dia atau sesiapa sahaja akan menerima sebarang keputusan dibuat parti.

“Tak ada masalah apa, saya pun bermula kosong sebelum ini, jadi wakil rakyat biasa. Jadi kalau berbalik pada asal pun tak ada masalah apa.

“Itu kalau parti dah buat keputusan (dilantik) kita terpaksa terima, sebab sebelum ini pun saya tak pernah minta. Jadi timbalan menteri besar pun saya tak minta,” katanya yang juga naib presiden PAS.

‘Ahmad Yakob berundur sukarela’

Dalam perkembangan berasingan, Malaysiakini melaporkan Mohd Amar mengesahkan Ahmad secara sukarela tidak ingin lagi memegang jawatan menteri besar.

Katanya hasrat itu dinyatakan sejak PRU14 lagi namun Abdul Hadi merasakan penyandang dan calon DUN Pasir Pekan perlu terus memimpin kerajaan negeri.

“Tiada isu digugurkan kerana Ahmad Yakob memang sejak PRU14 lagi meminta untuk tidak bertanding, namun presiden parti mahu dia terus memimpin.

“Bagaimanapun kali ini dia minta secara bersungguh-sungguh dan presiden parti ambil maklum dengan mengambil kira faktor kesihatan dan usia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here