Tular klip video lelaki maki ‘parti serban’ pada majlis DAP dihadiri Loke

0
133

Satu klip video ucapan sarat dengan makian dalam bahasa Cina pada satu majlis anjuran DAP di Selangor yang turut dihadiri pemimpin tertinggi parti termasuk Setiausaha Agung Anthony Loke menjadi tular di platform media sosial, dengan ribuan komen mengecamnya kerana melemparkan kata-kata berbaur perkauman dan menghina PAS serta pembangkang Melayu ketika ini.

Video berdurasi dua minit itu, yang mendapat tontonan hampir setengah juta di TikTok sahaja dalam tempoh kurang 24 jam sejak ia dimuat naik lewat petang semalam, dirakam pada 10 Jun tahun ini ketika majlis makan malam kutipan dana DAP di Balakong, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bangi di Selangor. 

Dalam video itu, seorang individu yang tidak dinamakan memakai jaket Pakatan Harapan (PH) berwarna merah memberi amaran kepada orang ramai tentang “parti serban”, merujuk kepada PAS, yang kebanyakan pemimpin tertinggi parti itu mengenakan penutup kepala bagi orang Islam.

“Ni muncul satu lagi panggil apa, parti serban, gelombang hijau ada tak? Sekarang dahlah susah, keluar pula parti serban yang lagi jahanam, betul tak?

“Yang semua orang takut tu, sekali sebut teringat kena potong kemaluan,” kata lelaki itu lapor Malaysianow.

Selepas beberapa kali mencerca “pesta serban”, lelaki tersebut berkata: “Kalau mereka menang besar, kita ni memang akan jadi jahanam, jahanam ditambah jahanam!”

Beliau berkata ramai pihak termasuk Umno telah menuntut permohonan maaf daripada DAP.

“Mereka ingat kita roket (DAP) ini senang nak buli. Betul tak? Kita roket tak takut mereka. Kita tak pernah takut. Semua faham tak?

“Betul mereka datang tuntut mohon maaf. Umno keluar tuntut daripada kita. Yang lagi kelakarnya, MCA tuntut juga,” katanya, dipercayai merujuk kepada Naib Presiden MCA Ti Lian Ker yang mana pada Jun lalu beliau menggesa DAP supaya memohon maaf kepada partinya atas tuduhan masa lalu kerana melabel MCA sebagai pengkhianat kaum Cina.

“P*i*ak ni panggil apa? Ini nak kena f** ni.”

Meneruskan cemuhannya dengan kata-kata kesat, lelaki tersebut berkata DAP tidak salah dalam menentang musuhnya pada masa lalu.

“Buat sampai Malaysia sebegini mundur. Semuanya kerana mereka,” katanya merujuk kepada Umno.

Dia bagaimanapun memberi amaran sekiranya Umno kalah pada pilihan raya negeri akan datang, dengan berkata senario seperti itu akan menyaksikan orang ramai menyertai “parti serban” beramai-ramai.

“Sekali lompat, Abang Nuar (Anwar) kita akan jatuh. Semua faham? 

“Kalau kita kalah enam negeri, kerajaan Abang Nuar akan goyah. Jadi kalau nak kerajaan Abang Nuar ni kukuh, semua kena keluar mengundi dan memangkah Pakatan Harapan,” tambahnya.

Acara itu diadakan di sebuah restoran Cina di Cheras sebagai sebahagian daripada siri kutipan derma untuk pilihan raya negeri sebelum pembubaran DUN Selangor. 

Selain Loke, yang juga menteri pengangkutan, pemimpin kanan DAP lain yang berucap pada majlis itu termasuk Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, serta Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan. 

Ucapan itu mengingatkan kepada kenyataan penyokong terkenal DAP Hew Kuan Yew, yang semasa kempen pilihan raya umum tahun lepas menggesa pengundi Cina supaya mempergunakan situasi perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu bagi membolehkan “tumbukan maut” dilancarkan pada pilihan raya.

Polis menahan dan membebaskan Hew beberapa hari kemudian tetapi tidak mengumumkan hasil siasatan mereka. 

Klip terbaru itu disambut ribuan komen marah, yang kebanyakannya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap DAP kerana menyentuh hal kaum dan agama.

“Kepada pihak berkuasa, sila ambil tindakan, jangan tutup sebelah mata bila isu 3R dibangkitkan,” kata satu komen, merujuk kepada amaran pemimpin kerajaan supaya tidak menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R) semasa berkempen.

“Betul la Tok Mat kata dia orang jujur dan ikhlas,” tulis pengguna TikTok bernama Amza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here