PRN: KJ ramal 3-3, gelombang pengundi Melayu ubah ramalan

0
143

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meramalkan Kerajaan Perpaduan, gabungan Barisan Nasional (BN)- Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing kekal menang di tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Bagaimanapun katanya, gelombang pengundi Melayu dijangka menjadi penentu kepada perubahan dalam pembentukkan kerajaan negeri daripada kedua-dua parti gabungan itu.

Menurutnya, ini kerana beliau yakin kerjasama yang terbentuk antara BN dan PH akan memberi kesan kepada pengundian.

“Setakat ini ramalan saya masih kekal 3-3 (tiga negeri Kerajaan Perpaduan), tetapi ia banyak bergantung kepada pengundi Melayu esok yang akan menentukan sama ada (jangkaan) itu kekal atau ada kejutan.

“Kalau gelombang perubahan itu ada, maka kawasan yang dahulu dianggap selamat akan jatuh (bertukar tangan),” katanya kepada pemberita selepas membantu kempen calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad di Felda Jelai pada Jumaat.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau meletakkan jangkaan sekurang-kurangnya 85 peratus pengundi Melayu akan keluar mengundi di enam negeri pada Sabtu.

“36-0 (kerusi DUN) itu berdasarkan kepada ramalan senario terbaik berdasarkan sifir satu campur satu adalah dua yang mana maksudnya satu undi BN dan satu undi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu dicampurkan akan jadi 36-0.

“Tetapi saya rasa ia bukan lagi soal satu campur satu, ada kalanya satu sahaja dan satu lagi akan lari sebab mesti ada kesan BN bekerjasama dengan PH dan undi yang dahulu diberi ke BN mesti ada yang tidak akan bagi kepada BN-PH,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum itu, Khairy ke Kuala Klawang, Jelebu membantu kempen calon PN DUN Klawang, Danni Rais sebelum ke DUN Sungai Lui menemui calon BN, Mohd Razi Mohd Ali.

Katanya, beliau turun berkempen bagi membantu sahabat-sahabatnya bukannya berkempen untuk parti.

“Saya turun untuk kempen bagi pihak sahabat peribadi iaitu kawan lama saya bertanding. Saya sokong calon yang saya rasa boleh berkhidmat dengan baik,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here