PN akan dedah ‘skandal’ tanah MB jika perintah Selangor

0
158

PERIKATAN Nasional (PN) akan mendedahkan skandal tanah melibatkan Menteri Besar Selangor sementara, Datuk Seri Amiruddin Shari dengan syarikat Berjaya Land jika berjaya memerintah Selangor, Sabtu ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan PN akan meneliti kembali projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang bernilai RM10 bilion itu.

“Kalau kes itu saja besok, insya-Allah kalau kita esok kita kaji balik apa benda ini. Jangan main-main. Kuasa rakyat.

“Kalau rakyat hari ini menuntut kerajaan PN apabila telah menang, menuntut kerajaan antara perkara yang harus dilihat ialah projek ini. Sama ada ada penyelewengan atau tidak. Sama ada cara yang dibuat itu teratur atau pun tidak. Sama ada ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor atau pun tidak.

“Betul tak? Boleh tak kita teliti balik? Tuan-tuan arah sayalah,” katanya, lapor Agenda Daily.

Sebelum ini Amiruddin yang juga Pengerusi PH Selangor didakwa terlibat skandal dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dalam projek SMG yang antara lainnya untuk membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menasihatkan Amiruddin agar berterus-terang saja dalam soal tersebut kepada rakyat.

“Dijemputlah siapa-siapa yang berminat, jadi orang hantarlah. Dia kata semua tak layak. Yang layak Vincent Tan. Dia kata semua dah tolak, yang ini (Vincent Tan) datang kemukan pelan. Ehhhhh, Janganlah main silap mata.

“Kita pun tahu…faham. Saya pernah jadi menteri besar…jangan temberang…(saya) pernah jadi PM. Rakyat Selangor bijaksana, jangan temberang. Cakap terus terang. Kalau tak betul, cakap tak betul,” katanya ketika berucap di DUN Jeram yang turut dihadiri calon PN, Datuk Harrison Hassan, malam tadi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 242 hektar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

Landasan Lumayan yang merupakan pemaju utama projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu, adalah dilantik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Landasan Lumayan, sebuah anak syarikat MBI yang merupakan pemegang 45 peratus tanah dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus) membentuk sebuah syarikat tujuan khas melalui usaha sama (JVCo) yang dikenali dengan nama Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB), antara lainnya, untuk membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here