Kenaikan subsidi padi perjuangan PN : Hamzah

0
147

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kenaikan kadar subsidi harga padi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam merupakan perjuangan yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ia merupakan usul yang diutarakan melalui Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya dalam sidang Parlimen sebelum ini.

“Alhamdulillah kita patut bersyukur kerana perdana menteri dah umumkan. Saya nak maklumkan perjuangan ini dibawa oleh kita (PN) dalam Parlimen melalui Muslimin, beliau yang mengutarakan isu ini.

“Maka sebab itu apabila dapat (kenaikan kadar subsidi padi) ia adalah kerana perjuangan kita (namun) masanya tidak sesuai (pilihan raya) tetapi pada saya tidak apalah kerana kita hendak membantu petani,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Himpunan Anak Muda PN di Jelebu, lapor Sinar Harian.

Hamzah berkata, para petani perlu tahu siapa mereka hendak mengundi sebab perjuangan itu datangnya daripada PN.

“Tidak semestinya dia umum dia dapat undi tetapi yang penting perjuangan itu telah pun dimakbulkan ALLAH SWT, seperti UMNO dan DAP itu takdir, itulah dia (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi hari ini saya nak beritahu ini takdirnya perjuangan kita bawa sudah dapat, bukan sebab kerajaan, sebab perjuangan kita.

“Undi itu hak pengundi, jadi bagi duit banyak mana pun tak kisah, tidak semestinya mengundi Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kenaikan kadar subsidi harga padi daripada RM360 kepada RM500 setiap metrik tan bermula Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 setiap tan sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi untuk meningkatkan pengeluaran.

Dalam pada itu, Hamzah memberitahu PN menjangka dapat memenangi lima daripada enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Anda pun tahu boleh rasa negeri yang mana yang kita patut menang. Saya rasa anda semua tahu kecuali Pulau Pinang.

“Saya bercakap terus terang, ia agak sukar tapi kita akan bekerja keras di Pulau Pinang. Insya-ALLAH saya gunakan ayat menembusi negeri Pulau Pinang, ini yang kita sedang cuba yang terbaik.

“Untuk semasa, lima negeri, tapi berkemungkinan dalam tempoh dua hari lagi, Insya-ALLAH kita boleh dapat Pulau Pinang sekali, kalau kita boleh dapat Pulau Pinang, akan jadi 6-0,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here