PRN: Pemuda PAS dakwa ada pihak cuba bawa pengundi hantu di P Pinang

0
137

PEMUDA PAS negeri mendakwa wujud usaha memanipulasi proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Sabtu ini.

Ketua Penerangan, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Amar, berkata gerakan itu dikatakan cuba mengumpul kad pengenalan pengundi di sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terutama golongan muda.

Beliau antara lain mendakwa, pihak berkenaan akan memberi balasan wang ringgit kepada pemegang kad pengenalan yang terbabit dalam gerakan itu, namun tidak mendedahkan jumlah yang dikatakan ditawarkan.

“Kemudian kad pengenalan terbabit akan digunakan oleh ‘pengundi hantu’ untuk mengundi bagi parti tertentu dan dokumen berkenaan hanya akan dipulangkan kepada pemilik sebenar selepas PRN.

“Kami percaya tindakan ini adalah skandal penipuan pilihan raya yang terdesak dengan kaedah ‘menyewa’ kad pengenalan pengundi sebagai cubaan terakhir untuk memperoleh kemenangan secara kotor, tidak bersih dan tidak adil,” katanya pada sidang media hari ini.

Yang turut hadir, Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhamad Hafis Alias.

Sementara itu, Mohamad Ikhwan Afiq mendakwa, pihaknya turut dimaklumkan ada perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi bagi memenangkan parti tertentu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak cubaan terdesak dan penipuan cuba dilakukan pihak tertentu, dikatakan semata-mata untuk memperolehi kemenangan pada PRN kali ini.

Justeru, katanya, pengundi dinasihatkan supaya membanteras dan mencegah skandal penipuan terbabit di peringkat awal, sebelum ia berlaku.

“Pilihan raya sepatutnya menjadi padang yang rata untuk semua pihak bertanding secara sihat dalam suasana demokrasi matang, tidak kira sama ada parti daripada kerajaan semasa, pembangkang mahupun Bebas.

“Skandal penipuan pilihan raya seperti ini tidak akan mematangkan demokrasi di negara ini. Malah, membawa Malaysia semakin terbelakang dengan kaedah lapuk untuk memenangi pilihan raya.

“Pemuda PAS Pulau Pinang meyakini integriti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia dan petugasnya, tetapi semua pihak perlu mengambil berat terhadap usaha memanipulasi pilihan raya dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa, jika kes ini berlaku di sekeliling anda,” katanya lapor BH.

Ditanya sama ada Pemuda PAS Pulau Pinang akan mengemukakan laporan polis berhubung dakwaan terbabit, Mohamad Ikhwan Afiq bagaimanapun menegaskan pihaknya belum bercadang untuk berbuat demikian.

“Setakat ini kami baru terima maklumat berkaitan usaha ini menerusi program dan siri kempen, sejak kelmarin, selain tiada bukti kukuh untuk melaporkannya kepada polis,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here