Susulan tidak dicalonkan dalam PRN, Ramasamy keluar DAP?

0
165

TIMBALAN Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy dijangka mengumumkan keluar parti esok.

Sumber dalam parti mendakwa Ramasamy, yang telah bersama parti itu selama hampir dua dekad, akan meletak jawatan kerana tidak berpuas hati tidak dicalonkan pada pilihan raya negeri (PRN).

Awal hari ini, Ramasamy memaklumkan akan mengadakan sidang media, sambil menambah beliau mempunyai pengumuman penting untuk dibuat.

Pada 27 Julai lalu, Satu Berita melaporkan, Ramasamy mempersoalkan tindakan DAP menggugurkan beliau dan beberapa Exco lain daripada bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Ramasamy, seorang ahli DAP yang lantang dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama tiga penggal, juga bersetuju dengan pandangan penyandang Bagan Dalam, Satees Muniandy bahawa mereka yang tidak menjadi calon adalah mereka yang menyokong Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk kekal memegang jawatan tertinggi negeri itu.

Katanya, walaupun boleh menerima keputusan digugurkan berdasarkan hujah DAP mahu membawa masuk pemimpin muda, namun ia bukanlah yang sebenarnya berlaku apabila parti itu juga menggugurkan ramai pemimpin lain.

“Tetapi mengapa Exco lain yang menunjukkan prestasi terbaik seperti Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee, serta ADUN Bagan Dalam, M. Satees? Anda kata ia adalah mengenai peremajaan. Ini adalah pemimpin muda yang bagus.

“Adakah kerana mereka menyokong Chow, mereka dicantas? Bagaimana lagi anda perlu jelaskan mengenai pemilihan calon? Jelas sekali pemilihan itu berdasarkan kecenderungan politik dalam DAP Pulau Pinang.

“Maksud saya, pemilihan dibuat kerana penjajaran politik,” ujar Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here