PN capai kata sepakat calon MB Selangor

0
170

PERIKATAN Nasional (PN) sudah mencapai konsensus calon Menteri Besar Selangor jika berjaya menang pilihan raya di negeri itu pada Sabtu ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada masa ini, gabungan itu mengambil pendirian tidak mengumumkan nama pemimpin berkenaan.

Jelas bekas Menteri Besar Selangor itu, ini selepas mengambil kira bahawa kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya percaya dalam kalangan pimpinan PN sudah ada dalam pemikiran mereka siapa individu akan diberi tanggungjawab yang besar ini. Sudah ada konsensus (siapa calonnya).

“Namun, kita ambil keputusan untuk tidak menamakan sesiapa sebagai ‘poster boy’ kerana pertama, itu adalah kuasa mutlak sultan untuk melantik Menteri Besar. Sebab, kita ada pengalaman di (PRN) Johor. insya-Allah sudah ada (calonnya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditembual dalam program Keluar Sekejap dikelolakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan malam tadi.

Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, yang juga bekas Setiausaha Politik Mohamed Azmin baru-baru ini menyatakan Mohamed Azmin akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar jika PN menang PRN di negeri itu.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Selangor juga negeri yang cukup penting kepada PN dan optimis ia mampu dirampas kali ini.

“Manifesto yang kita bentangkan juga tidak menyentuh isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti dalam masyarakat. Kita bincang soal pekerjaan, ekonomi, alam sekitar, itu tawaran dan komitmen PN. Sebab kita masuk bukan sebagai Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, tidak ada salah untuk berbicara soal Islam dan Melayu, namun sebaiknya ia tidak menyentuh dan menimbulkan sebarang provokasi terhadap agama dan kaum lain.

“Sebab ini adalah aset kita. Bagi saya kepelbagaian kaum dan agama ini aset kepada Malaysia dan juga Selangor,” katanya turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor yang menyentuh kuasa Sultan Selangor, sebagai tidak wajar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here