Annuar Musa umum lebih 100 tokoh, pemimpin, ahli tinggalkan UMNO sokong PN

0
105

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAN Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan lebih 100 ahli UMNO daripada pelbagai peringkat kepimpinan bahagian serta cawangan secara sukarela telah meletak jawatan dalam parti itu dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, mereka terdiri daripada bekas pemimpin di peringkat bahagian dan sayap parti selain bekas calon pilihan raya serta mereka yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

“Pada 1 Ogos lalu dalam ceramah saya di Kok Lanas, saya telah menyebut bahawa akan mengumumkan beberapa kepimpinan UMNO Bahagian serta cawangan yang akan meletak jawatan.

“Hari ini iaitu pada 4 Ogos saya ingin memaklumkan bersama-sama saya melebihi 100 ahli UMNO daripada pelbagai peringkat kepimpinan bahagian serta cawangan secara sukarela telah meletak jawatan dalam UMNO.

“Turut bersama saya juga beberapa orang bekas penjawat awam serta tokoh-tokoh tempatan di antaranya mantan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Sirajuddin Salleh.

“Semua tokoh tersebut menyatakan sepenuhnya sokongan mereka kepada PN dan akan membantu memperkasakan lagi PN bagi memenangi pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka semuanya mengumumkan keluar UMNO dan menyatakan sokongan kepada PN dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Kota Bharu hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dianggarkan lebih ramai lagi yang akan berhijrah ke PN dan meninggalkan UMNO selepas PRN kelak.

“Saya bersama sahabat-sahabat semua komited untuk meneruskan agenda Muafakat Nasional dalam memperkasakan penyatuan ummah dan keharmonian negara berlandaskan perlembagaan persekutuan yang sedia ada dan membangun bersama masyarakat majmuk di seluruh negara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here