PRN: 5 calon PN-Bersatu Terengganu mampu buat kejutan tawan kerusi BN

0
158

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PENAMPILAN lima calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini semakin menggusarkan pihak lawan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana kesemua calon yang ditampilkan bukan sahaja dikatakan boleh menggugat parti lawan, sebaliknya mampu membuat kejutan besar untuk menawan kerusi yang disandang UMNO-BN.

Malah, tidak mustahil persaingan sengit bakal diberikan ke atas calon parti lawan termasuk dua bekas Menteri Besar Terengganu membolehkan mereka menawan kerusi dimiliki UMNO.

Justeru ramai berpendapat, pencalonan Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Khazan Che Mat (Seberang Takir), Mohd Zawawi Ismail (Telemung), Mohd Yusop Majid (Permaisuri) dan Mohd. Husaimi Hussain (Hulu Besut) bakal menggugat calon BN di kerusi ’empuk’ tersebut.

Perkembangan ini secara tidak langsung menyebabkan dua bekas MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Kijal dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) turut goyah sehingga terpaksa bekerja keras untuk mempertahankannya.

Ahmad Said (kiri) dan Razali bakal bertembung di DUN Kijal

Ramai penganalisis dan pemerhati politik tempatan berpendapat, kedudukan dua Ahmad kini bergantung kepada cara dan pendekatan parti itu memainkan isu, cara berkempen serta bagaimana untuk memulihkan perpaduan dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO sendiri.

Selain itu, sokongan daripada ahli dan penyokong PH di samping kemampuan menarik pengundi atas pagar juga memainkan faktor penting.

Pada PRN nanti, Razali yang juga Ketua Penerangan Bersatu bakal berentap dengan Pengerusi UMNO Terengganu itu di Kijal dalam pertandingan satu lawan satu.

DUN Kijal merupakan antara Kubu kuat UMNO di Terengganu di mana Ahmad memenanginya sejak tahun 1990.

Dalam PRU 14 lalu, Ahmad yang memperoleh 9,545 undi menang dengan majoriti 1,265 undi melibatkan pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Pas, ustaz Hazri Jusoh yang meraih 8,280 undi dan Datuk Seri Wan Marzuki (PKR) mendapat undi 1,472 undi.

PN dijangka menang besar pada PRN di Terengganu

Memadangkan calon Pas Che Alias Hamid berjaya menewaskan Ahmad di kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 22,179 undi pada PRU15 lalu, ramai berpendapat tidak mustahil Razali juga berpeluang berbuat demikian dalam PRN nanti.

Bagi kerusi Seberang Takir, kehadiran ustaz khazan yang merupakan Ketua Bersatu Kuala Nerus dikatakan turut menggugat kedudukan penyandangnya Ahmad Razif daripada UMNO.

Pada PRU14 lalu Ahmad Razif yang mendapat 9,340 undi menang dengan majoriti 1,884 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fazil Wahab yang memperoleh 7,456 undi dan Lt.Kol (B) Ustaz Abu Bakar Abdullah (PKR) yang mendapat 939 undi.

Namun dalam pertandingan kali ini kedudukan Ahmad Razif dikatakan sedikit tergugat apabila lawannya adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri.

Khazan ketika ditanya mengenai peluangnya hanya menjawab pendek “InsyaAllah, doakan kemenangan, memang sengit, macam ada peluang!” ulasnya.

Khazan Che Mat yang akan bertanding di DUN Seberang Takir

Begitu juga dengan kerusi Telemung yang ditandingi bekas ADUN Kuala Berang, Mohd. Zawawi Ismail bakal berentap dengan Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Kedudukan Rozi juga dikatakan goyah selepas beliau tewas kepada sahabat lamanya Datuk Rosol Wahid ketika bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 lalu.

Dalam PRU14, Rozi yang mendapat 9,407 undi menang dengan majoriti 4,159 undi menewaskan calon Pas ustaz Kamaruzaman Abdullah yang mendapat 5,248 undi dan Sharifah Nurhayati Syed Omar (PKR) yang mendapat 455 undi.

Satu lagi kubu kuat UMNO iaitu di DUN Hulu Besut juga dilihat agak goyah setelah ia dikatakan terpalit dengan masalah dalaman melibatkan kepimpinan parti di peringkat bahagian sewaktu pemilihan UMNO baru-baru ini.

Dalam PRN kali ini, calon Bersatu, Husaimi Hussain akan berentap dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan penyandangnya Datuk Nawi Mohamad (UMNO) dan Che Harun Kamariah (Bebas).

Kehadiran calon Bebas dikatakan turut menambah kecelaruan kepada para pengundi untuk membuat keputusan.

Mohd. Yusop Majid akan bertanding di DUN Permaisuri

Perkembangan ini secara tidak langsung membuka peluang kepada Husaimi untuk membolehkan beliau menumbangkan bekas Ketua UMN0 Bahagian Besut itu.

Dalam PRU14 lalu Nawi yang mendapat 8,045 undi menang dengan majoriti 1,469 undi menewaskan calon Pas ustaz Mat Daik yang mendapat 6,576 undi dan Ismail Abdul Kadir (PKR) yang mendapat 860 undi.

Seorang lagi calon Bersatu yang ditampilkan, Mohd. Yusop Majid juga dikatakan berpotensi untuk menang di kerusi DUN Permaisuri.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Setiu akan menentang Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Hamdan Hamzah menggantikan Abdul Halim Jusoh yang tidak dicalonkan.

Pada PRU14 lalu, Abdul Halim yang memperoleh 10,385 undi menang dengan majoriti 1,970 undi menewaskan calon Pas, ustaz Zul Bahari A. Rahman yang mendapat 8,415 undi dan Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) mendapat 853 undi.

Melihat kepada kredibiliti, kualiti, pengalaman dan kepimpinan kelima-lima calon Bersatu tidak mustahil mereka mampu membuat kejutan diluar jangka sekali gus berjaya menawan kerusi tersebut daripada terus dikuasai UMNO.

Hanya keadaan dan Pengundi sahaja bakal menentukannya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here