Calon Pas tidak dihalang jumpa media, hanya elak keluar kenyataan bimbang diperguna pihak lawan

0
125

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PAS Pulau Pinang menafikan wujud halangan dan kekangan untuk petugas-petugas media mengikuti gerak kerja kempen calon-calon mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang ketika ini.

Sebaliknya, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, calon-calon Pas hanya dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh memberi impak negatif kepada parti dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh berkempen.

Ini kerana, jelas beliau, terdapat isu-isu dan perkara yang tidak sepatutnya dihebahkan kepada umum ketika kempen berlangsung.

“Tidak ada halangan sebenarnya untuk calon Pas bertemu dan bercakap dengan pihak media. Biasanya ada isu-isu yang kita tidak boleh cakap kepada pihak media, hal yang kita tidak patut cakap, jangan kita cakap.

“Ini kerana kita tidak mahu kenyataan-kenyataan kita (calon Pas) dijadikan bahan kempen oleh pihak lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini, wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pengamal media di Pulau Pinang yang mendakwa sukar mendapatkan gerak kerja kempen calon-calon Pas yang bertanding atas tiket PN di Pulau Pinang.

Pada PRN-15 Pulau Pinang kali ini, Pas membariskan seramai 10 calon termasuk tiga calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) daripada keseluruhan 40 kerusi yang ditandingi PN.

Dalam pasa itu, Muhammad Fauzi yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua berkata, calon-calon Pas di Pulau Pinang juga memberi tumpuan kepada kempen secara bersemuka dengan menziarahi pengundi di DUN masing-masing.

“Kita ziarah terus ke rumah pengundi dan bertemu dengan masyarakat setempat, itu lebih penting pada masa ini.

“Selalunya kita tidak perlu bercerita dengan panjang lebar kepada masyarakat soal isu-isu politik kerana masyarakat sudah celik politik dan faham apa yang berlaku.

“Sekarang, pengundi hanya mahu melihat calon-calon yang bertanding, jadi kita masuk ke kampung-kampung dan perkenalkan diri sebagai calon PN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan sambutan pengundi terhadap calon-calon PN daripada Pas pada PRN Pulau Pinang setakat ini amat menggalakkan.

Jelasnya, calon-calon Pas menerima maklum balas yang positif daripada pengundi yang mahu beralih sokongan dengan mengundi PN pada PRN kali ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here