Abdul Hadi tegur golongan agamawan tidak ambil peduli isu politik

0
143

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegur golongan bijak pandai dalam agama kerana didakwanya tidak begitu cakna akan hal-ehwal politik semasa.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, soal politik tidak boleh dipandang mudah kerana ia melibatkan pengambilalihan kuasa dalam negara ini.

“Bila dia (pemain politik) ambil alih kuasa, dia boleh lawan kita macam-macam. Ini kena sedar. Mana ‘tok-tok’ lebai ni? Mengaji fardu ain tapi bab politik tak belajar.

“Agama adalah asas. Kuasa politik adalah pengawas. kalau tak ada agama, runtuh. Tak ada kuasa politik, hilang. Hilang kuasa Islam, hilang ajaran Islam. Macam Sepanyol. Islam memerintah selama 800 tahun. Bila orang Islam cuai, jatuh Sepanyol. Batu nisan dibongkar buat bangunan, orang Islam dibunuh, masjid-masjid jadi muzium.

“Nak jadi macam tu? Ini pengajaran. Sebab itu, tunaikanlah kewajipan mengundi ini. Pilih kumpulan yang nak memerintah. Bagi kuasa kepada mereka,” katanya ketika berucap sempena program Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meyakinkan golongan bukan Islam khususnya di Pulau Pinang bahawa mereka tidak akan dipinggirkan jika Pas diberikan kuasa untuk memerintah.

Jelasnya, orang bukan Islam juga tidak perlu takut kerana pemerintahan Islam adalah bersikap adil kepada semua kaum dan lapisan masyarakat.

“Jangan takut orang bukan Islam. Islam memerintah dengan adil. Jangan takut. (Orang) Melayu ini amat baik. Di Kelantan, Terengganu, orang Cina dan orang India boleh hidup…di tengah-tengah kampung Melayu, hidup aman.

Orang ramai membanjiri program Ceramah Mega PN Best semasa Hadi Awang berucap di Jalan Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang malam tadi.

“Tapi, cara DAP, PH (Pakatan Harapan) ini ‘mengacaubilaukan’ (rakyat)…menimbulkan ketegangan. Jadi, kita nak ajak buat perubahan ramai-ramai para pilihan raya ini. Suruh turun mengundi ramai-ramai,” kata beliau.

Pada masa sama, Abdul Hadi turut mengulas mengenai istilah ‘kakistokrasi’ seperti yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kerajaan sebelum ini.

“Tun (Mahathir) menafsirkan (kakistokrasi) mengikut kamus istilah politik iaitu dipimpin oleh orang yang tak tahu memerintah, tak boleh memerintah serta tak ada kemampuan (untuk memerintah).

“Jadi, saya terjemahkan ke dalam Bahasa Melayulah senang. Kakistokrasi ini ‘memerintah dengan kaki’. Terajang sana, terajang sini, sepak sana, sepak sini sehingga berlaku banyak masalah. Sehingga Pulau Pinang pun jadi ‘pulau pening’,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau gembira kerana ramai anak muda telah ‘berubah’ dengan memilih untuk menyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN).

“Yang tak berubah ini cuma saluran satu (saluran mengundi untuk warga emas). Ini jadi masalah. Jadi, marilah kita buat perubahan dengan mengambil alih kesemua enam negeri pada pilihan raya ini supaya perubahan berlaku di peringkat Pusat pula selepas ini,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here