Kelantan teruskan bas percuma balik mengundi

0
167

KELANTAN akan meneruskan pengangkutan bas percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata apa yang dilakukan pihak kerajaan negeri itu bukannya membeli undi sebaliknya, itu tanggungjawab mereka kepada pelajar yang kekurangan wang untuk pulang mengundi.

“Kerajaan negeri Kelantan tidak membatalkan perkhidmatan bas percuma kerana kita sudah berjanji dengan rakyat.

“Kita yang hanya menyediakan perkhidmatan bas percuma pun dikata mahu membeli undi sedangkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pemberian geran di Terengganu, jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.

“Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya pada sidang media selepas Majlis Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera”, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir,Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad memohon pihak berkuasa menjelaskan perkara itu secara terperinci bagi memudahkan sebarang perlaksanaan dilakukan di peringkat negeri.

“Kita di peringkat negeri juga masih lagi kerajaan walaupun kerajaan caretaker dan kita juga boleh melakukannya sebagaimana yang dibuat Kerajaan Pusat. Jika bila kita buat perkara tertentu dikatakan salah pula.

“Maka, biarlah ada panduan jelas berkaitan perkara itu (pemberian sepanjang PRN) sama ada ia berbentuk rasuah atau sebaliknya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sebagai sebuah kerajaan pemerintah, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.

Menurutnya, beliau berasakan tiada isu boleh dikaitkan dengan pemberian geran berkenaan kerana ia adalah satu inisiatif daripada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here