Ejen ‘selesaikan’ kes di KLIA gagal dikesan SPRM

0
138

EJEN kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mencetuskan kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, kini gagal dikesan.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya mengarahkan siasatan kes itu dilengkapkan.

Katanya, perkara itu juga sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat kajian dan melihat kepada sebarang unsur jenayah berdasarkan hasil siasatan.

“Saya ingin katakan juga, kerana masih lagi orang tak percaya kepada SPRM yang mengatakan dua saksi itu sudah balik ke China

“Tapi kalau ada yang boleh tunjukkan di mana saksi itu, kami bersedialah. Sebab ramai pandai-pandai kat luar tu kata saksi itu ada di Malaysia… Jadi tunjuklah kepada kami,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Body-Worn Camera (BWC) dan Vest SPRM, di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, SPRM sudah memeriksa dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sistem menunjukkan bahawa mereka sudah meninggalkan negara.

Sebelum ini Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai JIM di pintu masuk negara KLIA.

Beliau mendedahkan perkara itu selepas mengakui dirinya adalah individu yang terbabit dalam insiden kekecohan di KLIA, selepas dikatakan cuba ‘melepaskan’ masuk seorang wanita warga China yang dilarang memasuki negara ini oleh pegawai imigresen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengakui budaya rasuah masih berlaku dalam kalangan penguat kuasa tetapi hanya membabitkan segelintir mereka di KLIA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here