Presiden Gerakan nafi PAS boikot kempen pilihan raya

0
158

CALON Perikatan Nasional (PN) DUN Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau menafikan PAS Pulau Pinang memboikot kempen pilihan raya beliau.

Lau yang juga presiden Gerakan berkata, parti komponen PN tidak perlu membantu semua aktiviti kempennya, lapor Utusan Malaysia.

Ketika program ‘walkabout’ hari ini, katanya jentera pilihan raya PAS tidak perlu membantunya kerana beliau bertemu pengundi daripada masyarakat India dan Cina.

“Ada jentera Pas bantu, semasa penamaan calon sudah ada yang turun.

“Hari ini juga kalau kita lihat Bersatu tidak turun kerana hari ini saya jumpa orang India dan Cina.

“Kita ada peranan masing-masing, ada jentera yang memasang bendera, kerja memasang poster dan sebagainya,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Lau yang juga senator berkata beliau bertemu beberapa pemimpin bahagian dan akar umbi PAS untuk membincangkan kempen bagi memastikan kemenangan PN di Bayan Lepas.

Sekumpulan ahli PAS sebelum ini membantah pencalonan Lau di Bayan Lepas kerana mahu calon parti itu bertanding di kerusi majoriti Melayu.

Mengikut data daftar pemilih pada 2018, Bayan Lepas mempunyai 64.4% pengundi Melayu, Cina (29.8%) India (5.2%) dan lain-lain (0.4%).

Pada pilihan raya 2018, Pakatan Harapan menang kerusi itu dengan majoriti 5,245 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here