Polis kesan Mohamed Imran bantu siasatan kematian isteri

0
169

POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita yang mempunyai kesan cedera di tubuhnya disyaki dibunuh.

Lelaki tersebut merupakan suami si mati yang dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed yang alamat terakhirnya di Apartment Sutera Pines, Sungai Long, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian wanita itu daripada seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kajang, selepas menyedari wanita itu tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia pada 12.15 tengah malam, Ahad lepas.

“Mangsa dihantar ke hospital itu oleh suaminya yang kemudian menghilangkan diri setelah mendapat tahu isterinya sudah meninggal dunia. Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan hospital tersebut mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa yang berusia 38 tahun itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat, hasilnya terdapat kesan kecederaan di seluruh badan si mati dan pakar patalogi mengesahkan punca kematian akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pihaknya percaya kejadian tersebut berlaku di pangsapuri sama di Sungai Long, Kajang dan motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.

Mohd Zaid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Kini pihak polis sedang mencari dan mengesan suami si mati untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes ASP R K Umesh di talian 012-6114900 bagi membantu siasatan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here