Kerajaan dituntut penuhi janji semak semula akta lapuk media

0
163

TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menuntut supaya kerajaan memenuhi janji untuk menyemak semula akta-akta lapuk berkaitan profesion kewartawanan yang dilihat tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

“Ini berikutan terdapat beberapa perundangan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat kebebasan media di negara ini.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan memenuhi janji untuk memansuhkan akta (berkaitan profesion kewartawanan) tidak sesuai atau relevan yang boleh mengekang kebebasan media.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, ia melibatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. (Jadi) saya fikir kerajaan harus menunaikan janji dalam soal ini (semak semula akta lapuk),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, Johan ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Media Kebangsaan 2023 ‘Kemampanan Media: Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia Pada Era Digital’ anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini turut membangkitkan isu sama.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Jun lalu dilaporkan berkata, kerajaan setakat ini tidak membincangkan isu pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Katanya, sekarang ini kerajaan menumpukan kepada pembentukan Majlis Media untuk membawa rang undang-undang berkaitan kepada peguam negara dan seterusnya Parlimen.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Johan turut mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara.

Katanya, ia bagi membolehkan suara komuniti itu lebih didengari, di samping sebagai penghormatan kepada golongan wartawan di negara ini.

“Saya cadangkan supaya kerajaan melantik seorang Senator dalam kalangan wartawan kerana saya fikir ini adalah satu penghormatan yang patut diberikan kepada kumpulan ini (wartawan).

“Ini kerana kita memerlukan suara wartawan di Dewan Negara dan saya juga berasakan sudah sampai masanya juga untuk kerajaan memikirkan perkara ini (lantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here