Digugur sebagai calon PRN, Yeoh kini pengerusi SPPP

Bekas Adun Paya Terubong selama tiga penggal Yeoh Soon Hin kini pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang baharu, umum Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Suruhanjaya itu adalah badan berkanun yang bertanggungjawab terhadap pelabuhan di Pulau Pinang dan Langkawi.

FMT melaporkan, Loke yang juga setiausaha agung DAP sebelum itu mengumumkan Yeoh tidak akan mempertahankan kerusi Paya Terubong.

Yeoh juga adalah Exco pembangunan pelancongan, seni, budaya dan warisan Pulau Pinang.

Semalam, Loke mencadangkan bekas Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

Cadangan itu susulan keputusan DAP mengugurkan Ean Yong sebagai calon PRN Selangor.

Bagaimanapun, Bersih menggesa Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan cadangan itu dan berkata lantikan itu sepatutnya dilakukan berdasarkan merit dan bukannya atas faktor naungan politik.