Pengetua Pusat Tingkatan Enam diberi autonomi ambil pelajar

0
146

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kuasa autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam untuk menjalankan proses pengambilan pelajar, berkuat kuasa serta- merta.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata langkah tersebut membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi, yang memerlukan peluang menyambung pengajian tanpa perlu menunggu tawaran daripada KPM seperti tahun sebelumnya.

“Pengetua sudah boleh ambil anak-anak murid untuk masuk Tingkatan Enam dengan kuasa yang ada. Sebelum ini tawaran adalah daripada KPM.

“Pengetua boleh cari siapa (pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia) yang tidak ada tempat, peluang dan ruang boleh sambung tanpa tunggu tawaran KPM,“ katanya selepas merasmikan Himpunan Pewaris Generasi MADANI di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Pada majlis itu Fadhlina turut menyampaikan sumbangan komputer riba tajaan Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd kepada lapan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Selain itu Fadhlina berkata pemberian autonomi itu juga memberi jaminan akses yang lebih luas bagi pelajar daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam.

Menurut beliau sebahagian besar pelajar STPM adalah terdiri daripada golongan B40 yang memerlukan lebih perhatian dan inisiatif daripada kerajaan.

Sementara itu mengenai penjenamaan semula dan menaik taraf Tingkatan Enam ke Kolej Universiti, beliau berkata ia memerlukan sedikit masa untuk dilihat secara keseluruhan dan diselesaikan.

Sebelum ini, KPM dilaporkan membuat penjenamaan semula bagi beberapa aspek dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam termasuk Kolej Tingkatan Enam dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti manakala jawatan pengetua ditukar kepada pengarah.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here