Saifuddin nafi rayu Hamzah batal keputusan pemilihan PKR

0
126

SETIAUASAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan beliau merayu kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022.

Saifuddin yang tewas kepada Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan itu menyifatkan dakwaan dibuat Hamzah sebagai ‘kenyataan politik ‘ menjelang PRN bulan depan.

“Pertemuan dengan Datuk Seri Hamzah hanya atas kapasiti sebagai pengerusi bersama jawatankuasa di antara kerajaan dan pembangkang sewaktu pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” jelasnya.

Katanya lagi, ketika itu beliau hanya menjawab surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang jika tidak dijawab boleh menyebabkan pendaftaran PKR dibatalkan.

“Jadi ada beberapa aduan daripada pemilihan oleh anggota parti kepada JPPM yang menulis kepada kepada parti, saya sebagai Setiausaha Agung diberi tanggungjawab majlis pimpinan pusat (PKR) untuk respon surat tunjuk sebab itu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari Imigresen di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, jawapannya kepada JPPM yang memberi surat tunjuk sebanyak dua kali tiada kaitan dengan dakwaan Hamzah.

Dalam ceramah di Alor Setar malam tadi, Hamzah mendakwa Saifuddin pernah merayu kepadanya untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR 2022 ketika beliau memegang jawatan menteri dalam negeri.

JPPM yang memantau parti politik adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri diketuai Hamzah pada waktu itu.

Sementara itu, Saifuddin berkata, belum menerima sebarang notis tuntutan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas dakwaan fitnah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan penggunaan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) sebanyak RM1.6 bilion bagi tujuan lain.

“Saya biasa boleh dihubungi bila-bila masa. Saya tak elak. Saya boleh didekati dengan mudah dan tak susah didekati sehingga jam 3 pagi,” katanya.

Dalam tuntutan dibuat menerusi peguam Tengku Amalin & Faizi, Saifuddin dalam tempoh tujuh hari diminta memohon maaf, membuat aku janji tidak mengulangi tuduhan sama dan kepada Sanusi yang perlu dibayar serta merta selepas dipersetujui kedua-dua pihak.

Berhubung isu sama, Saifuddin menggesa Sanusi mendedahkan identiti seorang lelaki warga China yang ditahan di sebuah Hutan Simpan Bukit Enggang Sik berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.

“Sanusi seorang pemimpin yang pantas jawab apa jua persoalan tetapi kes ini dia diam sudah 72 jam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here