Wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online di Facebook

0
131

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG peniaga kedai makan wanita berusia 54 tahun di Butterworth, Pulau Pinang berputih mata selepas wang miliknya sebanyak RM512,244 lebur diperdaya skim pelaburan saham online.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie, mangsa mula terpedaya selepas melihat iklan berkaitan pelaburan saham di akaun Facebook pada 22 Mei lalu.

Jelasnya, mangsa kemudiannya telah berhubung dengan ejen pelaburan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan berkaitan pelaburan saham yang ditawarkan sebelum bersetuju dan membuat pendaftaran melalui laman web ‘HTTP://PSLUS.COM/#/RESGISTERAGENTCODE:697875’ yang diberikan.

Ujar beliau, mangsa seterusnya melalukan sebanyak 20 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank syarikat dari 20 Jun sehingga 5 Julai lalu.

“Menurut mangsa, pelaburan yang disertainya itu telah menjanjikan keuntungan kira-kira RM400,000 melalui transaksi yang dipaparkan di dalam akaun pelaburan milik mangsa.

“Bagaimanapun, wang keuntungan berserta modal yang telah dilaburkan tidak dapat dikeluarkan.

“Pengadu kemudiannya membuat laporan polis semalam selepas ejen pelaburan telah menghilangkan diri manakala platform pelaburan terbabit juga gagal diakses,” katanya.

Jelas Mohd. Asri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat.

“Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan terhadap akaun-akaun bank sebelum membuat sebarang bayaran melalui aplikasi Semakmule bagi memastikan akaun berkenaan selamat daripada sebarang kes penipuan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here