Orang gila kuasa sanggup buat apa saja pertahan kuasa – Sanusi

0
141

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi mendakwa terdapat orang gila kuasa yang sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa mereka ketika ini.

Menurutnya, kerajaan ‘Madanon’ yang wujud hari ini sedang menggunakan apa yang ada bagi menyekat kemaraan mereka.

Justeru katanya, beliau amat menghargai sokongan serta kerjasama dari semua pihak untuk Perikatan Nasional (PN) mempertahankan Kedah.

“Dari orang yang gila kuasa, mereka sanggup buat apa saja untuk pertahankan kuasa yang ada tetapi kena ingat, orang Kedah takkan terpengaruh dengan segala propaganda dan cubaan untuk memfitnah kita atas perkawa yang sengaja diada-adakan.

“Kalau tuan-tuan dapat saksikan sehari dua ini memang dibuat usaha bersungguh-sungguh untuk mengada-adakan, termasuklah benda yang kita tak tahu apa di bawah kementerian dia (Kementerian Dalam Negeri) berkaitan Imigresen. Semua di bawah kementerian dia, tiba-tiba persoalan itu ditanya dan suruh kita jawab.

“Kita mana tahu hal kementerian dia tetapi suruh kita jawab. Jadi itulah gilanya ‘Madanon’ ini,” katanya ketika berucap di depan para penyokong PN yang berhimpun di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar bagi menyambut kepulangannya setelah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, pagi tadi.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mempersoalkan siapa lelaki warga China ditahan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE).

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi turut menzahirkan harapan agar semua pihak menjaga disiplin agar kekal sihat dan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti.

“Banyak lagi program yang sedang kita atur. InsyaAllah banyak program-program besar dan utama yang akan memberi impak tinggi kepada diri kita.

“Kalaulah negeri ini terlepas ke tangan orang gila, orang yang tak tahu apa-apa. Dah lapan bulan, kita tak nampak apa-apa lagi. Sebab itu sekarang ini telah dipopularkan istilah kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan oleh orang lemah dan tidak berkemampuan mentadbir,” katanya.

Tambahnya, ketika ini semua pihak dapat melihat seorang pemimpin yang bercakap berdegar-degar selama puluhan tahun untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

“Inilah peluang yang Allah bagi. Kalau dia tak jadi PM, kita pun tak tahu. Hang duduk ‘gelembung’ saja, selama 20 tahun ‘gelembung’ kami.

“Dan hari ini Allah tunjuk… Dan dia nak pertahankan ‘gelembung’ itu, dia guna semua akta ‘draconian’ ini untuk mengenakan kita,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here