Undi PN untuk ‘sedarkan’ kerajaan Anwar – Muhyiddin

0
141

PENGUNDI di enam negeri digesa memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos ini sebagai mesej kepada kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesej itu penting untuk masa depan rakyat dan negara.

“Kalau kita terpilih juga kepada Pakatan Harapan, kita tidak tahu apa akan jadi. Saya boleh cerita panjang isu dan masalah yang boleh berlaku kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu di pekarangan Markas Tarbiyah Al-Idrisiah, Labohan Dagang, Sepang malam tadi.

Yang turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun, dan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.

Muhyiddin berkata, sudah lebih tujuh bulan kerajaan campuran memerintah tetapi tiada satu dasar yang diperkenalkan dilihat membela rakyat.

Malah katanya, disebalik harga barang harian meningkat, Anwar pula hanya tahu menyerang pembangkang dengan pelbagai tuduhan dan retorik politik.

“Rakyat nak dengar sekarang ini kita berhadapan dengan soal masalah besar, ini tentang kelangsungan hidup. Nak hidup, nak ada makanan di atas meja.

“Ini yang kita sedang hadapi pada hari ini, betul tak? Rakyat pada hari pertama bila kerajaan terbentuk mengharapkan sesuatu kenyataan yang jelas dan tegas tentang apa yang harus kerajaan lakukan dan tindakan mesti dibuat secara segera, tidak lengah-lengah kerana masalahnya adalah masalah besar.

“Bebanan rakyat tanggung ni tak boleh tertahan lagi,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kerajaan campuran sehingga hari ini tidak mengeluarkan sebarang langkah-langkah yang boleh memulihkan ekonomi negara.

“Sekarang dah lebih tujuh bulan, sampai hari ini tidak ada satu pun kenyataan, dia kata tunggu pada bulan lapan ini dia akan keluarkan naratif ekonomi dia.

“Rakyat bukan nak tunggu bulan lapan (Ogos), bulan lapan dah turun dah. Betul tak betul. Nak tengok dia turun tak? Kalau nak tengok dia turun cepat kita cepat-cepat undi Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Muhyiddin juga mengkritik Anwar yang kononnya menentang rasuah tetapi sebaliknya melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan campuran.

“Jelas terbukti dia (Anwar) kata menentang rasuah, tapi siapa dia ambil jadi Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, walaupun orang tahu dia menghadapi pertuduhan di mahkamah dan kena bela diri 47 pertuduhan,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here