Lebih 4,000 penduduk di Seoul terputus bekalan elektrik akibat hujan lebat

0
202

HUJAN lebat menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan kira-kira 4,000 isi rumah di Seoul, Korea Selatan, manakala 134 penduduk di seluruh negara dipindahkan, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Yonhap pada Jumaat.

Lebih 2,000 isi rumah di Seodaemun terputus bekalan elektrik selepas talian kuasa voltan tinggi terjejas akibat pokok tumbang, kata Ibu Pejabat Keselamatan dan Pencegahan Bencana.

Selain itu, sebanyak 2,000 isi rumah di Dobong turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

Pihak berkuasa telah memindahkan 134 orang di seluruh negara akibat hujan lebat, termasuk 77 di Seoul, dengan 104 daripada mereka masih berlindung di tempat lain, menurut agensi itu.

Kebanyakan kawasan di Korea Selatan diletakkan dalam amaran hujan lebat setakat pagi Jumaat, dengan kawasan di Seoul diramalkan menerima taburan hujan sehingga 50 mm sejam.

Bahagian selatan Wilayah Gyeonggi, kawasan pedalaman selatan dan kawasan pergunungan di Wilayah Gangwon, Wilayah Chungcheong dan Wilayah Jeolla Utara pula diramal menyaksikan curan hujan sehingga 200 mm sepanjang Sabtu.

Perdana Menteri Han Deok-soo pada Jumaat mengarahkan kerajaan mengambil semua langkah yang perlu untuk mencegah lebih banyak kerosakan, dengan tumpuan kepada mengurangkan risiko kematian.

Han juga menggesa agensi lain yang berkaitan bersiap sedia untuk kemungkinan Korea Utara melepaskan air dari Empangan Hwanggang di sempadan. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here