Syamsul Yusof kini tarik balik saman terhadap MAIWP, JAWI

0
139

PENGARAH dan pelakon Syamsul Yusof menarik balik saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, terhadap pegawai penyiasat dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menurut laporan Sinar Harian, ia berhubung dakwaan menyebar fakta aib mengenai hubungannya dengan Ira Kazar kepada ibu pelakon itu, Datin Patimah Ismail.

Peguam, Azahir Nasir yang mewakili pengarah filem ‘Mat Kilau’ berusia 39 tahun itu mengesahkan perkara terbabit, selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang dibuat secara dalam talian.

Pada 28 Mac lalu, Syamsul memfailkan saman terhadap MAIWP dan dua kakitangan jabatan itu, membabitkan penyebaran fakta-fakta aib dan memalukan kepada ibu Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail dan berhubung kenyataan isterinya, Ira Kazar selepas dipanggil oleh pihak JAWI, Ogos tahun lepas.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif, mengambil tindakan undang-undang itu melalui Tetuan Azahir Surainie & Azizan Ariff dengan menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam di Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Mohd Haris Abdllah; Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan JAWI sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Menerusi pernyataan tuntutan, pengarah berusia 39 tahun ini menuntut ganti rugi teladan (tidak dinyatakan jumlah) ke atas defendan kerana didakwa dengan sengaja dan berniat jahat untuk membuka aibnya.

Dia juga memohon deklarasi bahawa gambar pernyataan yang mengandungi nama Syamsul, Ira atau Faghira Fatini, 28; separuh tandatangan dan pernyataan bertulis adalah satu keterangan yang telah diambil oleh defendan-defendan atau ejennya, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan undang-undang yang berkait.

Syamsul juga memohon deklarasi bahawa gambar pernyataan tersebut yang telah dirakam oleh defendan atau ejen adalah dokumen dalam kawalan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here