Rasuah : PM Singapura arah menteri bercuti sementara sehingga siasatan selesai

0
256

PERDANA  Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah mengarahkan Menteri Pengangkutan S Iswaran untuk bercuti sementara menunggu siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) negara itu.

Menurut CPIB, Iswaran sedang membantu siasatan tetapi tidak dapat memberikan butiran lanjut. Biro itu berikrar akan menyiasat kes itu secara menyeluruh dengan keazaman yang kuat untuk membuktikan fakta dan kebenaran dan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

“CPIB mengakui minat orang ramai dalam kes ini kerana seorang menteri sedang disoal siasat oleh CPIB. Memandangkan siasatan sedang dijalankan, CPIB tidak dapat memberikan butiran lanjut.” Lapor Malaysiakini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan berkata beliau telah diberi taklimat oleh CPIB yang kemudian meminta persetujuannya untuk membuka siasatan rasmi.

Lee menambah beliau memberikan pengarah CPIB persetujuannya pada 6 Julai, berikutan siasatan rasmi bermula pada 11 Julai.

“Menteri Iswaran sedang membantu CPIB dengan siasatan yang sedang berjalan,” katanya sambil memaklumkan semasa ketiadaan Iswaran, Menteri Negara Kanan Chee Hong Tat akan memangku tugas menteri pengangkutan.

Iswaran adalah menteri ketiga yang menjalani siasatan berprofil tinggi tahun ini selepas Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Bulan lalu, CPIB membebaskan Shanmugam dan Vivian daripada salah laku berhubung penyewaan dua banglo kerajaan mereka di Ridout Road.

Banglo-banglo itu ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tanah Singapura, sebuah agensi di bawah kementerian Shanmugam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here