[VIDEO] Penyata tahunan bukti pelupusan hutang peneroka sudah dilaksanakan

0
1429

KEPUTUSAN kerajaan melupuskan hutang peneroka Felda seperti diumumkan bekas Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021 telah dilaksanakan berdasarkan bukti penyata tahunan yang diterima kebanyakan peneroka.

Beberapa peneroka Felda yang ditemui SatuBerita menjelaskan, penyata tahunan yang diterima daripada agensi tanah persekutuan menunjukkan pengurangan baki hutang sehingga 80 peratus.

Ketua Peneroka Felda Lenga, Mohd Nor Suparman berkata, hampir semua 220 peneroka di kawasan itu sudah menikmati pelupusan hutang itu berdasarkan penyata rasmi yang dikeluarkan Felda.

“Saya rasa daripada penyata hutang ini telah menggambarkan bahawa Felda telah mengurangkan hutang saya daripada RM65,000 kepada RM11,000,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Mohd Nor Suparman menunjukkan penyata hutang yang menyatakan hutangnya telah dihapuskan oleh Felda

Beliau diminta mengulas polemik pelupusan hutang peneroka Felda yang didakwa belum dilaksanakan meskipun telah diumumkan pada 2021.

Pada 7 Julai lalu, sempena Hari Peneroka, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Sebelum itu 2021, Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau Felda.

Abdul Rahman Hassan

Seorang lagi peneroka Felda Lenga, Abdul Rahman Hassan berkata, isu hutang peneroka Felda bermula sejak 1988 dan rumit, namun berjaya diselesaikan kerajaan pada 2021 selepas desakan peneroka melalui gabungan ketua peneroka kebangsaan.

“Di situ telah diumumkan pelupusan hutang peneroka yang telah kami peneroka Felda Lenga nikmati, hampir keseluruhan..ialah antara RM130,000 hingga RM140,000 hutang asal dilupuskan lebih 80 peratus, baki hutang kami antara RM30,000 hingga RM40,000 keseluruhannya.

“Jadi berlaku pengurangan atau pelupusan tersebut yang dijanjikan sebanyak 80 peratus. Memang berlaku antara peneroka dan Felda,” tegasnya.

Mahmud Malik

Peneroka Felda Sri Jaya, Mahmud Malik berkata, setiap peneroka diberi peluang menyemak penyata hutang sebelum menurunkan tanda tangan sebagai persetujuan jumlah ditetapkan.

“Memang berlaku (pelupusan hutang). Kenyataan ini (penyata) dah menyatakan awak dah tak ada hutang. Bank dah menyatakan awak tak ada hutang,” katanya.

Nor Azman Ibrahim

Seorang lagi generasi ketiga peneroka Felda Sri Jaya, Tangkak, Nor Azman Ibrahim memberitahu, kesan langsung yang dinikmati peneroka selepas pelupusan hutang tersebut ialah peneroka mempunyai lebihan wang untuk digunakan keperluan harian.

Katanya, ada antara peneroka sebelum dilupuskan hutang perlu membayar balik ansuran bulanan sehingga RM800 namun selepas dilupuskan bayaran ansuran hutang pinjaman berkurangan kepada RM300.

“Peneroka dapat lebihan simpanan untuk berbelanja, untuk keperluan hidup. Sebelum ini selepas potongan dibuat pekebun rasa tersepit (sebab potongan tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here