SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang pada Isnin atas satu pertuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Ducati, bulan lalu.
Mudzyadaha Mohammad, 42, yang juga pemandu lori memakai kemeja biru membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai penunggang motosikal telah menunggang kenderaan itu secara melawan arus jalan telah menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.
Kesalahan didakwa dilakukan di kilometer 22.2 Lebuhraya Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) di Ampang, pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda sehingga tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Seksyen itu turut memperuntukkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan dan dalam hal sabitan kali kedua atau kemudian, hilang kelayakan selama 10 tahun, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.