Tun Faisal sertai Bersatu

0
160

BEKAS ahli UMNO, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang dipecat dari parti pada Januari lalu kini secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau dijangka menerima watikah keahlian daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.

Tun Faisal yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, berkata beliau memilih menyertai Bersatu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu.

“Saya ialah orang yang percaya kepada jemaah atau bekerja dalam organisasi, jadi saya perlu berada dalam satu-satu organisasi untuk membantu perjuangan yang saya percaya.

“Sebenarnya bagi saya, Pas atau Bersatu, sama saja kerana kedua-duanya berada di bawah PN. Bagaimanapun, melihat kepada aspek di Putrajaya, tempat yang saya sudah biasa, Ahli Parlimennya ialah daripada Bersatu (Datuk Radzi Jidin).

“Jadi, saya percaya boleh memainkan lebih banyak peranan dalam BERSATU berbanding Pas, terutama dalam memberikan input berkaitan isu tempatan dan pada masa sama, memperkukuh BERSATU di kawasan ini,” katanya seperti dilapor BH Online.

Tun Faisal dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada Januari lalu selepas diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Tindakan itu diambil selepas Tun Faisal yang lantang mengkritik kepemimpinan UMNO, dikatakan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here