Pas Terengganu tawar pinjaman motosikal tanpa riba

0
159

PAS Terengganu menawarkan kemudahan pinjaman motosikal tanpa faedah bagi individu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran pembelian motosikal tanpa faedah itu antara 10 janji manifesto Pas sekiranya parti itu berjaya mengekalkan pentadbiran pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Tawaran ini antara janji kerajaan Pas yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah.

“Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, Pas Terengganu telah menunaikan kesemua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan,” katanya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika berucap sempena Program Jelajah Mega PNBEST Peringkat Negeri Terengganu di dataran jambatan angkat, di Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha PN, Datuk Hamzah Zainuddin, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Turut serta pada program itu ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, parti itu sebelum telah mengemukakan lapan manifesto dalam beberapa siri program bertemu rakyat dan akan menambah dua lagi manifesto baharu sekali gus melengkapkan 10 janji yang ditawarkan kepada rakyat.

“Dua tawaran baharu ialah meningkatkan peluang pekerjaan menerusi insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan perniagaan di Terengganu.

“Tawaran seterusnya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

Tujuh lagi tawaran manifesto Pas Terengganu ialah menyediakan khairat kematian sebanyak RM500, menyediakan tabung geran usahawan belia sebanyak RM5 juta, menyiapkan jalan raya pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut dan menaja caruman skim keselamatan Perkeso untuk suri rumah.

Selain itu, parti itu turut berjanji untuk menyediakan tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM5juta, mewujudkan pusat tafaqquh fiddin di setiap daerah dan menjadikan Terengganu nege inri pengeluar makanan negara dengan peruntukan sebanyak RM 100 juta.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos manakala 29 Julai hari penamaan calon dan 8 Ogos sebagai hari pengundian awal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here