PENGUNDI di enam negeri perlu menolak kerajaan yang disifatkan sebagai ‘kakistokrasi’ dan angkuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung Ogos nanti.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dipimpin oleh individu paling lemah apabila gagal menangani pelbagai isu sehingga membebankan rakyat, malah terpaksa bergantung nyawa kepada seorang timbalan yang menghadapi 47 kes mahkamah.
“Semalam kita perkenalkan istilah ‘kakistokrasi’, ‘government by the worst people’…. Dan ini sedang terjadi sekarang ini, kegagalan-kegagalan Anwar Ibrahim dan seluruh kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN (Barisan Nasional) adalah orang paling lemah membentuk kerajaan.
“Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dari segi manipulasi kerusi ahli-ahli Parlimen untuk berada dalam kerajaan untuk menyelamatkan kes-kes rasuah.
“Anwar lemah dari segi tekanan oleh DAP untuk menurut semua kehendak DAP kerana DAP ada 40 kerusi berbanding PKR ada 31 kerusi,” katanya dalam Sesi Khas yang disiarkan dalam Facebook TVPAS malam tadi.
Untuk rekod, Anwar melantik Zahid yang masih berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri sebaik menjadi ketua kerajaan.
Menurut Sanusi lagi, kerajaan campuran sekarang juga dilihat angkuh apabila penjawat awam kerajaan menjadi mangsa dipergunakan untuk kepentingan politik parti yang sedang memerintah.
“Yang kedua adalah campur tangan ahli-ahli politik dalam pentadbiran awam yang tidak sepatutnya berlaku… Saya yakin semua kakitangan awam di semua kementerian pada ketika ini perasaan mereka kembali ke zaman 2018-2020 lalu.
“Kerana pada waktu itu penghormatan kepada kakitangan awam berada pada situasi bawah sekali… Kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan awam itu diambil alih oleh jentera parti yang menggunakan seluruh jentera agensi dan jabatan ini untuk kepentingan parti masing-masing,” ujarnya lagi.
Lebih malang lagi menurut Sanusi, ketika negara dan rakyat sedang berdepan krisis berdepan kenaikan kos sara hidup, Anwar lebih sibuk untuk berpolitik dan menyampaikan ceramah dalam program kempen-kempennya.
“Saya rasa rakyat Malaysia perlu buat desakan, ketika kita sedang menghadapi krisis yang semakin hari semakin parah nampaknya Menteri Kewangan mengelak untuk mengambil tanggungjawab itu.
“Sebaliknya lebih berminat untuk menyampaikan ceramah dan di semua ceramah itu diambil kesempatan itu untuk melancarkan kempen bagi menghadapi PRN peringkat negeri dan melontarkan propaganda,” katanya lagi.
Sanusi menggesa agar pengundi di enam negeri menggunakan kesempatan pada PRN untuk menghentikan penipuan yang sedang dilakukan oleh kerajaan kakistokrasi ketika ini.
“Kita bekerja bersungguh-sungguh untuk menghadapi enam PRN ini bagi kita hantar satu referendum kepada rakyat Malaysia bahawa enam negeri ini menolak Anwar dan seluruh kakistokrasi yang sedang memimpin negara kita,” tegasnya lapor AgendaDaily
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.