PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai – SPR

0
183

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata seramai lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

“Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi dewan berikut: 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.

“Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

“Tarikh keluar writ pada 5 Julai; hari penamaan calon 29 Julai; hari mengundi awal 8 Ogos dan hari mengundi pada 12 Ogos,” katanya dalam sidang akhbar PRN di Menara SPR, di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhjaya itu penerimaan notis pembubaran rasmi DUN keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

Sebelum ini, media melaporkan Selangor membubarkan DUN secara rasmi pada 23 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.

Sementara, Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing pada 28 Jun; sementara Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertanding pada PRN kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here