POLIS Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan secara dalam talian hasil serbuan ke atas sebuah premis yang digunakan sebagai pusat panggilan di kawasan Perusahaan Mergong 2, Isnin lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata dalam serbuan oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi itu, seramai 54 individu termasuk seorang wanita, berumur 20 hingga 50 tahun ditahan.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua lelaki warga Bangladesh, 19 lelaki warga Taiwan, 29 lelaki warga China dan seorang wanita warga Taiwan.
“Premis itu dipercayai telah disewa dan dijadikan sebagai pusat panggilan kegiatan penipuan berkenaan dan sindiket ini telah menjalankan operasi selama empat bulan,” katanya pada sidang media di IPK Kedah di Alor Setar hari ini.
Fisol berkata sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguat kuasa sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.
“Mangsa telah diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket dan mereka ini menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Exora, sebuah lori jenis Isuzu, anak kunci, komputer riba, telefon bimbit, router, mesin pencetak, kertas skrip serta kertas yang mengandungi nombor akaun bank negara China,” katanya.
Beliau berkata polis turut mengesan dua lagi saksi iaitu pemilik premis dan pemilik syarikat kenderaan dipercayai dapat membantu siasatan kes.
Katanya, kesemua individu terbabit ditahan reman selama empat hari hingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 55B(1) akta yang sama.
“Polis juga ingin mengingatkan pemilik premis supaya berwaspada dengan pihak yang ingin menyewa premis mereka. Masyarakat juga diminta lebih peka dengan setiap panggilan diterima dan jangan mudah percaya terutamanya apabila melibatkan transaksi kewangan,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.