Ambil tindakan individu halang tugas penjawat awam -Ronald

0
186

 KERAJAAN perlu mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menghalang tugas penjawat awam ekoran insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, tindakan menteri berkenaan melanggar Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen iaitu menghalang sama ada secara aktif atau pasif terhadap mana-mana pegawai imigresen yang sedang menjalankan tugasnya meskipun mempunyai pas khas memasuki Terminal 1 KLIA. 

Malah, katanya, tindakan beliau yang dikatakan mengganggu pegawai imigresen daripada melaksanakan tugas dan amanah menahan pelancong negara asing tersebut secara sah adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seorang penjawat awam melaksanakan tugas. 

“Saya ingin menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan, pegawai awam perlu dibenarkan menjalankan tugas sah mereka tanpa gangguan dan tekanan daripada mana-mana orang, apatah lagi jika membabitkan hal ehwal keselamatan dan kedaulatan negara. Insiden seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kita menghormati tugas penjawat awam.

“Amaran tegas perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang dan mengganggu tugas pihak berkuasa. Penjawat awam hanya menjalankan tugas mereka mengikut bidang tugas dan fungsi mereka. Tidak wajar mereka dihalang atau dikasari dalam apa jua keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.

Ia didakwa berlaku petang semalam apabila menteri berkenaan dikatakan masuk ke kawasan ketibaan itu tanpa memohon pas.

Difahamkan, ia bertujuan ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dikatakan dinafikan daripada memasuki negara ini.

Sebaliknya King Sing menafikan dirinya menyalahgunakan kuasa sebagai seorang menteri sehingga menimbulkan insiden dan menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan pelancong asing yang ditahan Jabatan Imigresen dan sekiranya dirinya bertindak demikian sekalipun, ia hanya merosakkan reputasi sahaja.

Menurut beliau, pelancong berkenaan ditahan tanpa diberikan alasan oleh pihak imigresen sedangkan wanita tersebut mempunyai dokumentasi lengkap. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here