Selesai isu laungan azan cara baik, tidak perlu panjangkan isu

0
171

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berharap isu melibatkan laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan dengan baik serta saling bertolak ansur antara semua pihak terlibat.

Jelasnya, isu itu tidak sepatutnya timbul sekiranya semua pihak mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Ini kerana, menurut beliau, keputusan yang dibuat sejak 2010 itu melarang penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

Ujarnya, beliau difahamkan pihak masjid Sungai Puyu terlupa menutup pembesar suara luar sewaktu mendirikan solat Subuh dan ketika kuliah disampaikan selepas itu.

“Saya menasihati semua pihak di negeri ini sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam supaya tidak mudah terperangkap dalam sentimen perkauman dan agama sehingga mengeruhkan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Salim, beliau khuatir sekiranya ada pihak tertentu sengaja menimbulkan semula isu tersebut untuk meraih keuntungan politik murahan.

“Kita perlu sentiasa ingat keamanan adalah lebih perlu dipelihara dan diutamakan daripada memperoleh kepentingan politik yang sementara,” katanya.

Polis sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mensensasikan atau membuat provokasi berhubung isu laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan kemarahan hingga menimbulkan isu perkauman atau kegusaran awan.

Pada 28 Jun lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh individu berkaitan tindakan seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali meminta untuk memperlahankan bunyi azan kerana mendakwa terlalu kuat hingga mengganggu penduduk sekitar. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here