Pemuda UMNO desak pecat menteri buat kecoh di KLIA

0
219

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil tindakan tegas termasuk memecat seorang menteri yang didakwa membuat kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perbuatan menteri berkenaan tidak boleh diterima sama sekali oleh semua rakyat Malaysia.

Menurut Muhamad Akmal, ia kerana tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang walau siapa dan apa juga jawatan yang disandangnya.

“Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang. Waima siapa dan apa sekali pun jawatan kamu. Saya mohon untuk YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap kelakukan menteri yang tidak wajar ini. Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan, tugas sebagai seorang menteri bukan bermakna individu itu boleh melakukan apa sahaja.

“Menteri bukan bermakna kamu boleh melakukan apa sahaja, menteri bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat, bukan sebaliknya,” tegasnya.

Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA selepas mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here