Wanita maut semasa hantar anak ke sekolah

0
242

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG wanita maut sementara enam cedera selepas terlibat dalam kemalangan dua kereta dan sebuah lori di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang, pukul 7.30 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, nahas melibatkan sebuah kereta Produa Axia dinaiki sebuah keluarga lima beranak dipandu seorang wanita, sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang dan sebuah lori pasir.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu lelaki bersama rakannya serta lori pasir dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam ke Simpang Renggam manakala pemandu wanita dikenali sebagai Nor Hayati, 45, datang dari arah bertentangan.

“Sebaik sampai di lokasi, pemandu lelaki yang dikenali sebagai Adam Chua, 20, secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertembung dengan kereta dipandu Nor Hayati.

“Akibat pertembungan itu, kereta Produa Axia dipandu oleh Adam Chua berpusing dan masuk semula ke laluan asal sebelum dilanggar oleh sebuah lori pasir yang dipandu oleh Mohamad Aidil, 20-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian itu juga menyebabkan Nor Hayati maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki manakala empat anaknya berusia enam hingga 16 tahun cedera dan masing-masing dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom serta Klinik Kesihatan Simpang Renggam dekat Kluang.

Katanya, kemalangan itu berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah berhampiran kawasan kemalangan.

Menurut Bahrin, pemandu lelaki bersama rakannya itu turut mengalami kecederaan di dada, perut dan kaki dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Kluang untuk mendapatkan rawatan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here