‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

0
153

Kerajaan Perpaduan yang sebenar ialah ketika Malaysia ditadbir oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin, kata bekas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.

Menurut bekas ahli Parlimen Tanjong Karang itu, pentadbiran Muhyiddin lebih menggambarkan Kerajaan Perpaduan apabila semua parti yang terlibat dalam kerajaan pada ketika itu hanya bekerjasama di peringkat Persekutuan meskipun mempunyai hala tuju masing-masing di peringkat negeri.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang berlangsung pada 2021 adalah contoh terbaik apabila Umno bertembung dengan Bersatu atau PAS meskipun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memegang portfolio menteri Kabinet.

“Saya pelik melihat pemimpin Umno (sekarang). Kerajaan Perpaduan ini meskipun yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, saya percaya dan yakin Kerajaan Perpaduan waktu Muhyiddin paling berjaya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baru Kita Bangkit Perikatan Nasional di Shah Alam.

“Ketika itu, kita (Umno) bersama PN. Saya masih ingat di peringkat pusat. Saya pun menteri, Mohamed Azmin Ali pun menteri, Saifuddin Abdullah juga menteri.

“Bayangkan apabila sampai PRN Melaka dan Johor, pada Rabu kami hadir mesyuarat Kabinet. Habis saja mesyuarat, sebelah malam kita berperang.”

Noh berkata demikian bagi mengulas kerjasama BN-PH yang bercadang untuk mengagihkan kerusi bagi memastikan tiada pertembungan pada pilihan raya yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Noh yakin PN mampu merampas Selangor sekiranya berlaku persaingan satu lawan satu antara PN dan PH atau BN.

“PH mesti dikalahkan. Itulah cita-cita saya selama tiga penggal sejak 2008. Tetapi BN hanya tinggal harapan.

“Sebab apa? Sebab Selangor ini lain dari negeri lain. Kita jangan bertembung tiga penjuru, kalau tak PH akan berjaya. kita harap Selangor akan bertembung dua penjuru (satu lawan satu),” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here